Pilih 'no comment' soal berhijab, Fasha Sandha minta netizen henti tanya bab bertudung — 'Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa'

EntertainmentLifestyle
8 Jun 2026 • 9:13 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Pilih 'no comment' soal berhijab, Fasha Sandha minta netizen henti tanya bab bertudung — 'Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa'

SIAPA tidak kenal dengan pelakon jelita, Fasha Sandha? Setiap gerak-geri, naskhah lakonan, malah gaya penampilannya sering kali menjadi sorotan peminat dan lensa kamera. Sejak setahun setengah yang lalu, nama ibu kepada tiga cahaya mata ini kerap menjadi bualan hangat netizen, terutamanya apabila menyentuh soal penampilannya yang adakalanya dilihat sopan berhijab, namun adakalanya tampil berambut bebas.

Bagi sebuah figura publik, dihujani pertanyaan demi pertanyaan daripada warga maya seolah-olah sudah menjadi asam garam kehidupan. Bagaimanapun, dalam menyantuni isu sensitif sebegini, Fasha memilih jalan yang paling selamat dan tenang iaitu dengan tidak memberikan sebarang ulasan lanjut bagi mengelakkan salah faham.

"Dari awal pembabitan saya berpula setahun setengah yang lalu, apabila orang sentiasa tanya saya pasal isu saya berhijab sama ada saya berhijab atau tidak, saya selalu menjawab tiada komen.

Image from: Pilih 'no comment' soal berhijab, Fasha Sandha minta netizen henti tanya bab bertudung — 'Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa'

Jadi, kalau orang tanya saya pasal hijab sekarang pun, jawapan saya tetap sama, saya 'no komen'.

"Sebab saya tidak pernah memberikan apa-apa kenyataan tentang hijab ini," kongsi Fasha dengan tenang.

Menurut aktres drama Sutera Maya ini, isu berkaitan penghijrahan dan keagamaan adalah sesuatu yang sangat sensitif untuk diperdebatkan secara terbuka.

Menyedari status diri yang tidak sempurna, isteri kesayangan Aidil Aziz menganggap tindakan mengunci mulut adalah yang terbaik daripada terus membuatkan netizen berteka-teki atau salah lapor.

Dia mendedahkan bahawa jawapan ringkas itu jugalah yang akan diberikan sekiranya ada yang mempersoalkan mengapa gambarnya di Instagram atau babak di dalam drama masih kelihatan tidak berhijab.

Biarpun enggan mengulas lanjut, Fasha tetap menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat serta netizen yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Cuma baginya, soalan-soalan sedemikian hanya akan membuang masa mereka yang menanti kerana jawapannya tidak akan pernah berubah.

"Saya hanya orang biasa yang tidak lali daripada kesilapan. Saya biasa sahaja, saya tak ada macam nak ambil benda-benda jadi besar, nak buat benda-benda jadi isu besar nak kena fikir, tak ada. Sebab saya hanya menjalani hidup seperti biasa. Beginilah saya dan begitulah saya juga," tambahnya lagi.

Prinsip pemilik cawangan franchais Kopi Saigon itu cukup mudah dan matang. Di saat segelintir selebriti sibuk memberikan justifikasi demi memuaskan hati netizen, Fasha memilih untuk menjalani kehidupan mengikut acuan sendiri tanpa perlu menagih validasi daripada sesiapa.

Image from: Pilih 'no comment' soal berhijab, Fasha Sandha minta netizen henti tanya bab bertudung — 'Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa'

"Jadi kalau terima, terimalah. Kalau tak terima, 'it's okay'.

"Sebab bukan tugas saya untuk buat orang macam 'Oh please terima saya'. Kalau tak terima, 'it's okay'.

"Kalau terima pun Alhamdulillah, sebab saya rasa tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa pun.

"Kehidupan saya, 'this is my life'. Bukan hak milik sesiapa, bukan hak milik orang-orang netizen.

"Saya adalah hak milik keluarga, suami dan ibu. Jadi, saya tidak berhutang sebarang penjelasan kepada sesiapa pun," tegasnya lagi ketika ditemu bual Media Hiburan baru- baru ini.