Pilihan juadah tanpa beban poket

LocalFood
16 Mar 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bazar Ramadan Jalan Mahkamah menyediakan 150 peniaga yang menjual pelbagai jenis juadah menarik.
image is not available
Ramli (dua dari kiri) bersama isteri turut membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Jalan Mahkamah di Bayan Lepas.

BAYAN LEPAS – Bazar Ramadan Jalan Mahkamah terus menjadi tumpuan ramai setiap tahun dan dikenali sebagai antara bazar Ramadan terpanjang di Pulau Pinang, menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa serta kelengkapan Aidilfitri.

Bazar menempatkan kira-kira 150 peniaga dengan 180 tapak jualan itu bukan sahaja meriah dengan aneka makanan, malah menjadi lokasi pilihan pengunjung dari seluruh negeri termasuk Seberang Perai untuk mendapatkan juadah berbuka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bayan Lepas, Mohd Afizan Abdul Wahid berkata, sebanyak 17 gerai di bazar itu dipilih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk menjual Menu Rahmah pada harga RM5 ke bawah.

Menurutnya, antara gerai menjadi tumpuan dan tular di media sosial ialah nasi ayam penyet pramugari, donat berperisa, nasi dalca serta nasi itik ayam yang sering menjadi buruan pengunjung.

“Kemeriahan bazar ini turut menarik perhatian Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, yang berkunjung ke bazar berkenaan bersama isteri, baru-baru ini,” katanya.

**media[3464546]**

Dalam pada itu, Mohd Afizan berkata, tapak sama turut dihidupkan Uptown Ramadan bermula 10 Mac hingga 20 Mac, dari jam 9 malam hingga 2.30 pagi.

Katanya, Uptown Ramadan itu menjual pelbagai kelengkapan Aidilfitri seperti baju raya, kasut, tudung dan kuih raya bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan menjelang Hari Raya Puasa.

“Bagaimanapun, setiap Sabtu tiada peniaga bazar Ramadan di tapak berkenaan kerana memberi laluan kepada peniaga pasar malam menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, KPDN Pulau Pinang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) turut diadakan di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Jalan Mahkamah bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

Menurut kenyataan itu, pengunjung terawal sepanjang program berkenaan menerima baucar tambah nilai insentif REDI Touch ’n Go eWallet bernilai RM20.

“Peniaga yang menjual Menu Rahmah RM5 ke bawah pula menerima insentif REDI Touch ’n Go eWallet bernilai RM100,” menurut kenyataan itu.

Dalam tinjauan di bazar tersebut, rata-rata pengunjung menyifatkannya sebagai lokasi lengkap untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka.

Pengunjung, Nurul Aisyah Ibrahim, 32, berkata dia sanggup datang dari Seberang Perai kerana bazar itu menawarkan pelbagai pilihan makanan yang sukar didapati di tempat lain.

“Pilihan makanan memang banyak dan harga pun masih berpatutan. Setiap kali Ramadan, saya memang akan datang walau sekali ke sini untuk membeli juadah berbuka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafiz Abdullah, 41, berkata bazar berkenaan antara lokasi terbaik untuk menikmati suasana Ramadan bersama keluarga.

“Di sini semuanya ada, makanan pula sedap-sedap dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Bagi seorang lagi pengunjung, Siti Hajar Abdul Rahim, 27, bazar tersebut turut menjadi pilihan kerana terdapat gerai menawarkan Menu Rahmah.

“Sekurang-kurangnya ada pilihan makanan RM5 ke bawah, jadi ia bantu orang ramai terutama golongan ingin berjimat sepanjang Ramadan,” katanya.