
“500 pek bubur lambuk, senyuman yang terukir dan Ramadan yang lebih bermakna!”
Begitulah suasana di Surau Al-Amirin, Hulu Langat, apabila ahli kariah berganding bahu menyediakan bubur lambuk serta menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Program Ambil Peduli itu bukan sekadar tentang juadah berbuka, tetapi tentang gotong-royong, kebajikan, dan merapatkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni, sekali gus menunjukkan sokongan padu pihak kepimpinan daerah terhadap inisiatif akar umbi yang membawa manfaat nyata kepada komuniti.
Sebanyak 500 pek bubur lambuk dihasilkan secara gotong-royong oleh jawatankuasa surau bersama ahli kariah.
Setiap pek bukan sekadar juadah, tetapi simbol kepedulian dan solidariti masyarakat dalam menyemarakkan Ramadan.
Selain itu, barangan dapur dan duit raya turut diagihkan kepada penerima yang layak, menandakan keprihatinan surau terhadap golongan yang memerlukan.

Dalam majlis sama, Pengerusi Surau Al-Amirin, Datuk Abdul Rashid Mohd Ghani, menyalurkan wakalah zakat perniagaan berjumlah RM75,000.
Daripada jumlah ini, RM50,000 diperuntukkan kepada Maahad Tahfiz & Tarbiyyah Al-Amirin, manakala RM25,000 lagi untuk menyokong aktiviti Surau Al-Amirin sendiri.
Rosli dalam ucapannya berkata, program sedemikianmencerminkan kekuatan semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras kepada keharmonian masyarakat di daerah ini.
"Dari tangan yang memberi, lahirlah senyuman yang diberkati.
"Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah bulan untuk memperkukuh silaturahim dan menabur nilai keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Selain program berkenaan, Surau Al-Amirin turut menganjurkan ceramah khas sebelum waktu iftar yang disampaikan oleh Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah bertajuk 'Amalan dan Penghayatan Al-Quran - Mukjizat untuk masyarakat'. Majlis berkenaan bersempena sambutan Nuzul Quran.
Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan keindahan dan keagungan Al-Quran sebagai panduan hidup, menambah dimensi rohani kepada program kebajikan ini.
Majlis turut dihadiri Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat, ahli majlis dan jemputan daripada agensi tempatan.



