
PETALING JAYA – Polis menahan enam lelaki tempatan berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, Indonesia pada 29 Julai lalu.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dijalankan dari 20 hingga 28 Ogos lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dibuat susulan maklumat diperoleh hasil soal siasat terhadap pembantu juruterbang berusia 39 tahun berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan pegawai JSJN dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kesemua mereka ini berperanan sebagai pembekal dan penghantar bekalan dadah kepada juruterbang terbabit.
“Berdasarkan siasatan dan risikan, mereka memainkan peranan sebagai ‘upline’ (orang atasan) dan ‘downline’ (orang bawahan) dalam sindiket pengedaran dadah yang membabitkan pembantu juruterbang ini,” katanya, hari ini.
Hussein berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Untuk rekod, di bawah Akta Dadah Berbahaya LLPK 1985, polis mempunyai kuasa menahan reman mana-mana suspek selama 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.
Beliau berkata, JSJN turut akan berkongsi maklumat yang diperoleh dengan Polis Republik Indonesia (POLRI). – KOSMO! ONLINE
The post Pilot dadah: Enam ‘upline’, ‘downline’ sindiket dadah juruterbang dicekup appeared first on Kosmo Digital.




