Pinda Seksyen 377 elak kelompangan undang-undang – Ahmad Marzuk

LocalPolitics
2 Dec 2025 • 8:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini. Gambar kecil: Ahmad Marzuk
image is not available
Ahmad Marzuk
image is not available
Laporan Sinar Harian berkaitan seramai 171 lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran meminda Seksyen 377 Kanun Keseksaan bagi memastikan siasatan dan pendakwaan terhadap individu yang disyaki terbabit dalam perlakuan hubungan seks luar tabii dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, pindaan itu perlu memasukkan elemen niat sebagai sebahagian daripada kesalahan bagi memudahkan pihak pendakwaan mengklasifikasikan kes dengan lebih tepat.

Menurut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, ketiadaan elemen tersebut dalam peruntukan sedia ada menyebabkan sebahagian kes sukar dibawa ke mahkamah kerana pendakwaan ketika ini bergantung sepenuhnya kepada keadaan fizikal dan keterangan situasi ketika tangkapan dilakukan.

**media[3359227]**

“Atas dasar itu, saya menggesa kerajaan meminda Seksyen 377 bagi memastikan tidak berlaku kelompangan undang-undang.

"Elemen niat perlu dimasukkan untuk mendakwa mereka yang disyaki terbabit dalam seks luar tabii,” ujarnya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya berdepan kesukaran mendakwa 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit berikutan kekangan undang-undang sedia ada.

Beliau menjelaskan, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 377/372 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti yang boleh mengukuhkan siasatan kerana tiada pihak tampil mengaku sebagai mangsa.

**media[3359230]**

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi bagi mencari mekanisme pendakwaan yang lebih sesuai terhadap mereka yang ditahan dalam tangkapan terbaru itu.

“Pihak berkuasa perlu mencari jalan bagi menentukan kaedah pendakwaan yang tepat. Ini termasuk pertimbangan untuk mendakwa mereka mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan atau melakukan perbuatan kelucahan melampau di tempat awam.

“Langkah ini penting bagi memastikan isu sebegini dapat ditangani secara berkesan,” tambahnya.