
KUALA LUMPUR - Pekerja tempatan yang berdepan ujian hilang mata pencarian kini mendapat talian hayat lebih kukuh apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan kadar faedah baharu di bawah Akta 800 bermula hari ini, merangkumi elaun perumahan dan ganjaran mobiliti sehingga RM1,000.
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pindaan Akta 800 yang diwartakan pada 15 September lepas memperkenalkan tiga penambahbaikan faedah utama bagi mengukuhkan perlindungan sosial pekerja.
Penambahbaikan tersebut merangkumi peningkatan kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding 25 peratus sebelum ini.
Selain itu, had maksimum Fi Latihan dinaikkan kepada RM7,000 berbanding RM4,000, manakala Elaun Latihan dinaikkan kepada RM30 sehari.
Pindaan itu turut memperkenalkan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar (one-off).
Bantuan ini diberikan kepada pencarum yang hilang pekerjaan dan menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP), sebelum mendapat kerja baharu di lokasi yang berjarak melebihi 100 kilometer dari tempat kediaman.
Perkeso memaklumkan penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu itu bakal memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pencarum serta diyakini mampu merancakkan pasaran buruh negara.
"Penyediaan ekosistem serba lengkap yang dipacu oleh perkhidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti ini sekali gus mampu menjamin kelangsungan sosioekonomi masyarakat," menurut pertubuhan itu.
Pindaan terhadap Akta 800 ini juga melengkapkan agenda Kerajaan Madani ke arah mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari dengan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam sejak 1 Jun lalu.
"Keseluruhannya, Perkeso bertekad agar perlindungan sosial bergerak seiring perubahan dunia pekerjaan, bukan sekadar membantu pencarum ketika kehilangan pekerjaan, malah juga memastikan mereka mempunyai kemahiran, peluang dan sokongan untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.
"Melalui pindaan dan penambahbaikan ini, setiap pencarum yang terjejas bukan sahaja dilindungi, malah turut dibantu untuk bangkit, kembali produktif dan membina kehidupan yang lebih terjamin," tambah kenyataan itu.
Pencarum yang terjejas boleh membuat permohonan faedah secara dalam talian menerusi portal LINDUNG Kerjaya di alamat https://lindungkerjaya.perkeso.gov.my/ atau hadir ke mana-mana kaunter Perkeso berhampiran. - 1 Oktober, 2026
The post Pindaan Akta 800 Perkeso berkuasa hari ini, ‘talian hayat’ 7 juta pencarum appeared first on Scoop.






