
PETALING JAYA: Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) dan pindaan berkaitan Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan pencapaian signifikan bagi agenda reformasi institusi kerajaan serta detik bersejarah buat Parlimen.
Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas 34 tahun Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (Akta 394) dimansuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 (Akta A837) yang berkuat kuasa pada 20 November 1992.
“Selepas lebih tiga dekad, Akta 869 mengembalikan semula autonomi Parlimen dengan mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang khusus. Ia sekaligus memberi kebebasan dan kecekapan yang lebih tinggi dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran serta sumber manusianya sendiri.
“Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2025, sebelum disusuli bacaan kali kedua pada 4 Mac 2025.
Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan pada 5 Mac diikuti kelulusan Dewan Negara pada 20 Mac 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memperkenankan RUU tersebut pada 9 Julai sebelum ia diwartakan pada 18 Julai 2025.
Azalina berkata, kerajaan menzahirkan junjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan baginda menetapkan 1 Oktober 2026 sebagai tarikh penguatkuasaan Akta 869 dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan.
“Dengan autonomi institusi yang lebih kukuh, Parlimen kini dapat melaksanakan fungsi perlembagaan dan tanggungjawabnya kepada rakyat secara lebih bebas, berkesan serta berwibawa,” jelasnya
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Majlis Parlimen, Jemaah Menteri serta semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil atas kerjasama menjayakan reformasi berkenaan. – UTUSAN
The post Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berkuat kuasa hari ini appeared first on Utusan Malaysia.






