Pindaan Akta Sewa Beli berkuat kuasa 1 Jun tahun ini

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 11:01 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Bagi menambah baik dan memperkukuhkan kerangka perundangan ekosistem kredit di negara ini, Akta Sewa Beli 1967 telah digubal menerusi Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna selain memodenkan pelaksanaan perjanjian sewa beli agar lebih telus serta selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa industri.

Menurutnya, antara perubahan utama diperkenalkan melalui pindaan itu adalah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata serta kaedah Peraturan 78 yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pinjaman sewa beli.

Katanya, di bawah kaedah lama, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.

“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman masih perlu menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.

“Sehubungan itu, pindaan baharu ini memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.

“Kadar faedah akan dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekaligus menjadikan proses penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan memberi manfaat lebih adil kepada pengguna,” katanya kepada media pada Hari Pengguna Kebangsaan 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan acara itu dan diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh pada Ahad.

Dalam pada itu, Armizan berkata pindaan itu turut menyokong agenda transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam pelaksanaan perjanjian sewa beli.

Katanya, langkah itu termasuk kebenaran menggunakan tandatangan digital serta penyerahan dokumen secara elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.

Selain itu katanya, pindaan itu turut memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar bagi tujuan pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan dalam transaksi sewa beli.

Dalam pada itu, Armizan memaklumkan, walaupun tarikh penguatkuasaan pindaan dipercepatkan iaitu pada 1 Jun depan selepas diwartakan pada 30 Januari tahun ini, kerajaan masih memberi ruang tempoh peralihan kepada penyedia perkhidmatan sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi serta proses operasi mereka dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

Katanya, manakala penyedia yang telah bersedia pula boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut peruntukan baharu sebaik sahaja akta itu berkuatkuasa.

Dalam pada itu katanya, institusi perbankan juga akan menawarkan diskaun ihsan kepada pelanggan yang membuat penyelesaian awal pinjaman di bawah kaedah lama.

Menurutnya, inisiatif itu telah diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Association of Development Finance Institutions of Malaysia (ADFIM) pada Disember 2025 lalu.

Lihat Muksa 2Diskaun ini akan mula ditawarkan bermula 1 Jun 2026 ini kepada pelanggan yang masih berada di bawah kaedah kadar faedah sama rata dan peraturan 78, namun memilih untuk buat penyelesaian awal pinjaman.

“Langkah ini bertujuan memastikan baki tertunggak pelanggan ini setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu yang menggunakan Kadar Faedah Efektif serta Kaedah Pengurangan Baki di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan reformasi undang-undang ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti, sekaligus melindungi hak serta kepentingan rakyat.