KOTA KINABALU - Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang diluluskan di Parlimen pada tahun lalu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun depan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem kredit negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut antara fokus agenda gerakan kepenggunaan pada tahun ini yang melibatkan reformasi undang-undang berkaitan hak dan kepentingan pengguna.
"Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu ialah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna, termasuk dengan penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 September 2025.
"Akta 873 yang di bawah kawal selia oleh Kementerian Kewangan ini telah berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 manakala keperluan pelesenan dan pendaftaran akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh enam bulan diberikan kepada industri untuk permohonan ini," katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) di sini pada Ahad.
Armizan berkata, di peringkat KPDN, ikhtiar dalam memperkukuh ekosistem kredit bagi menambah baik perlindungan pengguna ialah melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 menerusi pindaan yang telah dilaksanakan pada 2026.
"Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli melalui beberapa perubahan utama.
"Ini termasuk yang pertama, pindaan ini memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78). Di bawah kaedah tersebut, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
"Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.
"Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna," katanya.
Tambah Armizan lagi, pindaan tersebut juga menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli.
"Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.
"Di samping itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan pelaksanaan usaha wajar (due diligence) untuk pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
"Ketika rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen, sasaran awal tempoh peralihan (grace period) Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 ialah selama 18 bulan selepas tarikh diwartakan. Namun, pelbagai pihak termasuk sebahagian ahli-ahli Parlimen yang mengutarakan agar pindaan tersebut berkuat kuasa sesegera mungkin.
"Selepas rundingan susulan dibuat, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan dikuatkuasakan lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026," jelasnya.
Bagaimanapun, Armizan berkata, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.
"Manakala, penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026.
"Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada bulan Disember 2025, institusi perbankan akan juga menawarkan diskaun ihsan atau goodwill discount bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, iaitu 1 Jun 2026.
"Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal, bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026," katanya.
Jelas Armizan lagi, reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus, berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.
Sebelum itu, HPK 2026 yang disambut setiap 15 Mac disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

