Ping pong: Malaysia terlepas lagi pingat emas beregu lelaki

14 May 2023 • 7:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aksi Javen (kanan) dan Qi Shen (kiri) ketika menentang regu Singapura dalam perlawanan akhir ping pong regu lelaki pada Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Badminton Morodok Techo pada Ahad. - Foto Bernama

IMPIAN pasangan pemain ping pong negara, Javen Choong-Wong Qi Shen untuk meraih pingat emas lebur selepas tewas 1-3 kepada gandingan Singapura, Izaac Quek-Koen Yew En Pang di pentas final Sukan SEA 2023 pada Ahad.

Pada saingan berlangsung di Dewan Ping Pong Morodok, Izaac-En Pang bermula cemerlang menewaskan pasangan negara 11-3 pada set pertama sebelum pasangan negara bangkit menyamakan kedudukan selepas menang set kedua 11-8.

Bagaimanapun, pasangan negara tersungkur pada dua set terakhir 8-11, 4-11 menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Singapura membawa pulang emas.

Qi Shen ketika ditemui mengakui beliau tidak menampilkan corak permainan terbaiknya sepanjang aksi akhir hari ini sementara lawan mereka sangat bersedia untuk berdepan Malaysia.

Pada masa sama, Javen pula berharap dapat meningkatkan tempo permainan dan bermain corak pantas seperti lawan mereka, Singapura.

"Semua strategi kami hari ini tidak menjadi, mereka (Singapura) punya persiapan sangat bagus, kami akui kena dikuasai dengan mereka dari permulaan permainan,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Pingat perak diraih skuad negara adalah yang pertama dari acara beregu lelaki di temasya dwitahunan itu selepas tiga dekad.

Kali terakhir pasukan negara meraih pingat pada edisi 1993 di Singapura menerusi Yong Hong Cheh-Khor Kok Seong.

Pada Khamis, Malaysia terlepas peluang meraih pingat emas sulung acara berpasukan wanita selepas tewas kepada juara bertahan Thailand 0-3.

Pada masa sama, gandingan wanita negara, Alice Chang Li Sian-Im Li Ying meraih pingat gangsa selepas tunduk kepada wakil Singapura, Zhou Jingyi-Wong Xin Ru 7-11, 5-11, 8-11 di separuh akhir.

Bagaimanapun, Singapura gagal meneruskan rentak cemerlang di peringkat akhir apabila tewas kepada pasangan Thailand, Orawan Pranang-Suthasini Sawettabut 4-11, 13-15, 7-11. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved