
ARAU: Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib menerima Pingat Jasa Baik (PJB) bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam bidang kewartawanan dan usaha mengangkat nama negeri ini menerusi penulisan yang berkualiti.
Hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia kewartawanan, bapa kepada tiga cahaya mata itu telah menghasilkan pelbagai laporan berita dan rencana yang memberi tumpuan kepada pembangunan, ekonomi, warisan serta pelancongan Perlis sehingga membantu memperkenalkan potensi negeri berkenaan kepada masyarakat.
Sepanjang kerjayanya yang merangkumi penugasan di Kuala Lumpur, Kelantan dan Perlis, beliau turut meraih pelbagai anugerah kewartawanan serta pengiktirafan atas kecemerlangan dalam bidang tersebut.
Mohd. Hafiz berkata, penganugerahan itu bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan penulisan yang lebih berkualiti, berwibawa dan memberi nilai tambah kepada masyarakat.
Katanya, setiap pengiktirafan yang diterima menjadi amanah untuk terus menyampaikan laporan yang tepat, berintegriti dan berteraskan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
“Saya menjunjung kasih atas penganugerahan ini. Penghargaan ini menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan penulisan yang berkualiti, berfakta dan bermanfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Utusan Malaysia, kerajaan negeri dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan serta kerjasama sepanjang kerjayanya sebagai wartawan.
Terdahulu, Mohd. Hafiz, 40, menerima penganugerahan tersebut daripada Tuanku Syed Sirajuddin pada majlis penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Arau semalam.
Pada istiadat penganugerahan itu, beliau antara 246 individu yang menerima darjah kebesaran dan pingat sebagai menghargai jasa serta sumbangan cemerlang kepada Perlis dan negara.-UTUSAN
The post Pingat Diraja suntik semangat hasilkan penulisan berkualiti appeared first on Utusan Malaysia.


