
BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan sekadar menjadi ‘pelengkap jadual’ di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebaliknya bertekad menjelmakan kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Biarpun sedar bakal berdepan barisan pencabar terbaik Asia, pasangan ranking No. 6 dunia itu percaya mereka memiliki peluang untuk mencabar kedudukan teratas sekiranya mampu menampilkan prestasi terbaik pada temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
“Kami rasa mempunyai peluang yang sangat baik walaupun ramai lawan kuat akan beraksi di Sukan Asia, tetapi kami tetap meletakkan sasaran yang tinggi.
“Pastinya pingat emas menjadi sasaran kami. Bagaimanapun, kami akan mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan,” kata Izzuddin.
Sekiranya berjaya merealisasikan sasaran itu, Sze Fei-Izzuddin bakal menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk kembali meraih emas acara beregu lelaki di Sukan Asia.
Kali terakhir Malaysia muncul juara menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Asia Doha 2006 selepas menewaskan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto.
Keyakinan itu hadir selepas Sze Fei-Izzuddin kembali daripada Terbuka China baru-baru ini dengan pasangan berkenaan memberi jaminan keadaan mereka berada dalam keadaan baik menjelang cabaran di Aichi-Nagoya.
“Setakat ini keadaan kami baik selepas kembali daripada Terbuka China,” kata Sze Fei.
Dalam masa sama, Sze Fei-Izzuddin menyifatkan sasaran enam pingat emas yang ditetapkan kepada kontinjen Malaysia pada temasya kali ini sebagai realistik dengan setiap atlet pastinya mahu memberikan sumbangan terbaik kepada negara.
“Setiap atlet pasti akan memberikan yang terbaik dan saya rasa sasaran enam pingat emas itu adalah sasaran yang realistik untuk atlet Malaysia,” tambah Izzuddin.
Malaysia menetapkan sasaran keseluruhan 33 pingat pada Sukan Asia kali ini dengan pecahan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa.
The post Pingat emas jadi buruan Sze Fei-Izzuddin di Jepun appeared first on Kosmo Online.






