
SHAH ALAM, 24 OGOS: Pingat perak bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mungkin bukan warna yang diimpikan, namun perjalanan skuad kendalian I. Arulchelvan sepanjang temasya wajar dinilai daripada sudut lebih besar.
Ia adalah sebahagian daripada proses membangunkan generasi baharu bola sepak negeri sebelum mereka matang menjadi pemain senior.
Selangor terpaksa akur kepada Johor menerusi penentuan sepakan penalti 2-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat 120 minit pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kekalahan itu sememangnya mengecewakan, lebih-lebih lagi ketika Selangor memburu emas pertama sejak 1998.
Namun, jika keseluruhan kempen dinilai, sukar untuk menyifatkan pasukan ini sebagai gagal.
Selangor mempamerkan konsistensi hingga ke perlawanan terakhir, termasuk menghasilkan antara aksi terbaik ketika membelasah Pahang 4-0 pada separuh akhir selepas menyingkirkan Melaka 2-0 di suku akhir.
Lebih penting, Selangor tidak tumbang dalam tempoh 120 minit pada final.
Mereka bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-30 selepas ketinggalan kepada Johor, sebelum bertahan sehingga tamat masa tambahan.
Penentuan penalti akhirnya menjadi pemisah apabila Johor lebih tenang menyempurnakan keempat-empat sepakan, manakala dua percubaan Selangor diselamatkan penjaga gol lawan.
Justeru, pingat perak itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk merombak segala-galanya.
Sebaliknya, inilah masanya Selangor terus percaya kepada proses.
Arulchelvan sendiri melihat pengalaman beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti final sebagai sesuatu yang amat bernilai kepada pemain muda, terutama selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat.
Di situlah nilai sebenar SUKMA.
Pingat ialah hasil akhir, tetapi pembangunan pemain merupakan proses yang jauh lebih panjang.
Pemain yang beraksi di Stadium MBPJ malam itu tidak seharusnya berhenti setakat sebagai pemain SUKMA.
Mereka perlu diberikan laluan untuk terus berkembang melalui minit permainan yang mencukupi, latihan berkualiti, pendedahan kepada aksi berintensiti tinggi dan paling penting, pemantauan konsisten selepas temasya berakhir.
Jika kesinambungan itu dapat diwujudkan, pingat perak SUKMA 2026 boleh menjadi sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada sekadar koleksi pingat.
Ia boleh menjadi jambatan kepada generasi baharu bola sepak Selangor.
Kegagalan meraih emas tidak bermakna Selangor kehilangan masa depan.
Sebaliknya, negeri ini kini memiliki sekumpulan pemain muda yang sudah merasai tekanan perlawanan kalah mati, separuh akhir dan final di hadapan ribuan penyokong.
Pengalaman seperti itu tidak boleh dibeli.
Apa yang diperlukan selepas ini ialah kesabaran, perancangan dan keberanian untuk memberikan mereka peluang.
Jangan nilai projek ini hanya berdasarkan warna pingat.
Nilailah apa yang boleh lahir daripada kelompok pemain ini dalam tempoh tiga, lima atau mungkin 10 tahun akan datang.
Selangor mungkin belum berjaya menamatkan penantian emas bola sepak lelaki SUKMA pada 2026.
Namun, mereka masih berpeluang memenangi sesuatu yang jauh lebih besar - melahirkan generasi pemain yang suatu hari nanti mampu menjadi tulang belakang bola sepak Selangor dan negara.
Pingat perak SUKMA 2026 bukan noktah.
Ia sepatutnya menjadi permulaan kepada proses yang lebih besar.
Mulai sekarang, Selangor perlu terus percaya kepada proses itu.





