
KUALA LUMPUR: Setiap pinjaman baharu hanya digunakan bagi membiayai projek pembangunan yang produktif dan memberi manfaat kepada ekonomi negara menerusi pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pelaksanaan akta itu turut memperkukuh disiplin fiskal negara di samping memastikan sasaran pengurangan defisit fiskal dan paras hutang kerajaan dapat dicapai dalam jangka sederhana.
“Di bawah FRA, kerajaan menetapkan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka sederhana serta memastikan paras hutang tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama.
“Akta ini turut memperkukuh disiplin fiskal dengan memastikan pinjaman baharu hanya digunakan bagi tujuan pembangunan yang produktif dan memberi manfaat kepada ekonomi negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Leong Ngah Ngah yang meminta kerajaan menyatakan langkah mengukuhkan kedudukan fiskal serta memastikan kestabilan ekonomi negara memandangkan nisbah hutang kerajaan kini menghampiri 60 peratus daripada KDNK.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai pembaharuan bagi memastikan kemampanan fiskal dan pengurusan hutang negara dalam jangka sederhana selaras dengan sasaran yang ditetapkan di bawah FRA.
Katanya, langkah tersebut merangkumi pelaksanaan konsolidasi fiskal secara beransur mengimbangi antara usaha mengekalkan disiplin fiskal dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
“Usaha itu disokong melalui langkah mengoptimumkan perbelanjaan awam menerusi penyasaran subsidi diesel dan RON95 supaya penjimatan dapat disalurkan kepada program yang memberi manfaat kepada golongan rentan.
“Kerajaan turut memperkukuh asas hasil negara secara mampan melalui peluasan asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-Invois, peningkatan kecekapan kutipan hasil serta usaha mengurangkan ketirisan.
“Selain itu, reformasi institusi perkhidmatan awam turut diteruskan termasuk penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan 2025, rasionalisasi agensi dan badan berkanun, mengutamakan projek berorientasikan user-pay menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), pengenalan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 serta penggubalan Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi secara mampan dan berdaya tahan di samping meneruskan konsolidasi fiskal serta mengawal pertumbuhan hutang negara.
Katanya, pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh, disokong pengurusan pinjaman secara berhemat dijangka membantu mengurangkan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK secara beransur-ansur dalam jangka sederhana.-UTUSAN
The post Pinjaman baharu hanya untuk pembangunan bermanfaat appeared first on Utusan Malaysia.





