Pintu kereta terbuka tiba-tiba, wanita maut dilanggar lori tangki

LocalCars
4 May 2025 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas tercampak dari kereta dinaiki.

PORT DICKSON – Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas mangsa tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 26, Jalan Lukut–Sepang, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai tercampak keluar selepas pintu belakang kereta terbuka secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak jenis Volvo.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan kereta yang datang dari arah Sepang, Selangor menuju ke Lukut terbuka secara tiba-tiba ketika melalui selekoh.

“Akibatnya, seorang wanita berusia 39 tahun tercampak keluar ke jalan bertentangan dan dilanggar lori tangki yang datang dari arah berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Tambah beliau, pemandu lelaki berusia 34 tahun tidak cedera, manakala anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori tangki turut tidak mengalami kecederaan. Hasil semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta juga menunjukkan keputusan negatif dadah,” katanya.

Jelas beliau, rakaman kamera papan pemuka dari lori tangki telah diperoleh bagi membantu siasatan.

Setakat ini, katanya, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan pintu kenderaan sentiasa dikunci dengan selamat, terutamanya apabila membawa penumpang, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.