Pintu Pagar Balai Polis Tutup Lepas 10 Malam Susulan Insiden Ulu Tiram – Saifuddin

9 Jul 2024 • 3:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Arahan itu dikeluarkan susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu, pintu pagar semua  balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas jam 10 malam.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, arahan tersebut dikeluarkan sebagai usaha untuk memperketatkan keselamatan serta mengelak berulangnya insiden yang telah meragut nyawa dua anggota polis itu.

“Ekoran peristiwa di Balai Polis Ulu Tiram, tindakan segera PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran supaya perbaiki beberapa arahan.

“Susulan isu sama, arahan pentadbiran perintah tetap ketua polis negara turut memasukkan supaya balai polis ditutup selepas 10 malam.

“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan dalam masa sama balai polis juga turut jadi sasaran. Jadi, kita kena imbangi kedua-duanya,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

image is not available
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah yang diambil oleh PDRM bagi memperketatkan keselamatan di balai polis selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.45 pagi pada 17 Mei itu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.

Suspek ditembak mati di tempat kejadian. – Getaran, 9 Julai, 2024