
PUTRAJAYA – Penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 terhadap Malaysia merekodkan penurunan menerusi elemen sokongan ibu bapa kepada pembelajaran murid.
Dalam konteks ini, elemen perbincangan tentang aktiviti sekolah menurun kepada 51 peratus pada 2025 berbanding 57 peratus pada 2022.
Pada masa sama, penilaian itu turut menyaksikan elemen berbincang tentang masalah sekolah antara murid dan ibu bapa turun menurun sebanyak 34 peratus pada 2025 berbanding 46 peratus pada 2022.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu berkenaan bukan soal mencari pihak untuk dipersalahkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai isyarat memahami perkara yang diperlukan anak-anak daripada orang dewasa di sekeliling mereka.
“Cikgu boleh mengajar di dalam kelas. Kementerian Pendidikan pula boleh menyediakan kurikulum, guru, sekolah dan pelbagai bentuk sokongan.
“Tetapi tidak ada sistem pendidikan yang mampu menggantikan peranan sebuah keluarga dalam kehidupan seorang anak,” katanya pada sidang akhbar keputusan PISA 2025 di sini tadi.
Menurut Fadhlina, ibu bapa tidak perlu menjadi guru kedua di rumah atau mengetahui semua formula Matematik untuk membantu anak-anak dalam pembelajaran.
Sebaliknya, katanya, sokongan boleh bermula dengan perkara mudah seperti meluangkan masa bersama anak dan bertanya perkara yang dipelajari atau yang tidak difahami mereka.
“Apabila seorang ibu atau bapa bertanya, mesej yang sampai kepada seorang anak sebenarnya jauh lebih besar.
“Apa yang kamu belajar penting kepada saya. Usaha kamu penting kepada saya. Masa depan kamu penting kepada saya,” jelasnya.
Selain itu, kadar buli siber yang dilaporkan murid Malaysia lebih tinggi berbanding purata Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) berdasarkan dapatan PISA 2025.
Dapatan itu menunjukkan kurang lima peratus murid berusia 15 tahun melaporkan pernah mengalami buli siber melebihi purata yang ditetapkan OECD, iaitu tiga peratus. – KOSMO! ONLINE
The post PISA 2025: Sokongan ibu bapa pada pembelajaran murid menurun appeared first on Kosmo Online.




