Pisau tumpul kembali tajam

4 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pisau tumpul kembali tajam
Idriosman menghiris kertas menggunakan parang yang baru diasah bagi memastikan ketajaman matanya.
Image from: Pisau tumpul kembali tajam
Antara pisau dapur yang dihantar pelanggan untuk diasah
Image from: Pisau tumpul kembali tajam
Idriosman cukup teliti penting ketika kerja-kerja mengasah
Image from: Pisau tumpul kembali tajam
Idriosman tekun mengasah parang dihantar pelanggan di bengkelnya.

PEKAN – Idea seorang pesara guru menawarkan khidmat mengasah pelbagai jenis alatan tajam seperti pisau, parang dan kapak berjaya menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Idriosman Baguk, 60, dari Taman Mentiga Jaya di sini berkata, semuanya bermula sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 kira-kira enam tahun lalu.

Pada mulanya, beliau belajar cara mengasah pisau menerusi video di YouTube bagi memahami teknik asas sebelum memberanikan diri mengasah peralatan miliknya sendiri.

“Dari situ, saya memberanikan diri menawarkan khidmat ini kepada rakan-rakan terdekat. Tak sangka ia mendapat sambutan dan terus berkembang hingga ke hari ini.

“Kerja ini nampak biasa, tetapi dapat dimanfaatkan untuk membantu orang ramai mendapatkan kembali ketajaman pisau, parang dan pelbagai peralatan memotong yang sebelum ini mungkin layak dibuang,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Idriosman yang lebih mesra disapa Tok Empat kemudian mendalami kemahiran berkenaan dengan mendapatkan tunjuk ajar daripada seorang tukang pisau berpengalaman.

Menurutnya, kerja mengasah pisau bukan sekadar menggesek mata pisau pada batu atau mesin pengasah sehingga tajam, sebaliknya memerlukan pengetahuan mengenai teknik dan sudut asahan yang tepat.

**media[3666862]**

Katanya, setiap jenis pisau dan parang mempunyai sudut mata berbeza yang perlu dikenal pasti sebelum kerja mengasah dilakukan.

“Kesilapan menentukan sudut asahan bukan sahaja boleh menjejaskan ketajaman mata pisau, malah berisiko merosakkan bentuk asal peralatan berkenaan.

“Seiring waktu dengan kemahiran dimiliki, saya dapat menganggarkan sudut mata pisau yang perlu diasah hanya dengan melihat bentuk dan keadaan mata peralatan tersebut.

“Kemahiran itu memudahkan proses kerja selain membolehkan teknik mengasah disesuaikan mengikut jenis dan tahap kerosakan pisau atau parang yang diterima,” katanya.

Bagi mempercepatkan proses kerja dan meningkatkan keupayaan menerima tempahan, Idriosman menambah beberapa peralatan dan mesin mengasah secara berperingkat.

Kini, beliau memiliki lima mesin termasuk belt sander besar dan kecil, mesin pengasah, mesin pengilat dan pencanai hingga mampu mengasah lebih 40 bilah pisau sehari.

**media[3666864]**

Musim korban

Jelasnya, permintaan terhadap perkhidmatan itu menggalakkan, namun banyak bergantung kepada musim dan keperluan semasa.

“Permintaan tinggi ketika musim ibadah korban apabila ramai pelanggan menghantar pisau sembelih dan pisau melapah untuk diasah.

“Pada hari biasa pula, peralatan yang diterima lebih tertumpu kepada pisau dapur, parang serta pelbagai peralatan berkebun,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman, beliau pernah menerima lebih 20 bilah pisau dapur daripada seorang pelanggan untuk diasah, termasuk sebahagiannya yang sudah lama disimpan kerana tumpul.

“Ada yang memilih untuk menyimpan dan tidak kurang juga membuang pisau yang tidak digunakan. Tetapi apabila mengetahui ada tempat boleh mengasahnya, mereka mula membawa keluar semula peralatan yang tersimpan untuk digunakan kembali.

“Upah mengasah dikenakan serendah RM1 hingga RM10 bergantung kepada jenis, saiz dan keadaan peralatan,” katanya.

**media[3666865]**

Walaupun hanya beroperasi di bengkel kecil di parkir hadapan rumah, perkhidmatannya bukan hanya mendapat sambutan penduduk sekitar Pekan.

Menurut Idriosman, ada pelanggan dari daerah lain, malah ada yang menghantar peralatan melalui pos bagi mendapatkan khidmat mengasah.

Bagi memastikan pelanggan berpuas hati, setiap pisau yang selesai diasah akan diuji ketajamannya menggunakan kertas sebelum diserahkan kepada pemilik.

Beliau berkata, ketahanan ketajaman mata pisau selepas diasah bergantung kepada cara dan kekerapan penggunaannya serta jenis kerja yang dilakukan.

Bagi Idriosman, kepuasan sebenar bukan semata-mata pada upah yang diterima, sebaliknya apabila melihat peralatan yang sebelum ini tumpul kembali berfungsi tanpa perlu dibuang atau digantikan dengan yang baharu.

Sebagai pesara guru, beliau juga terbuka berkongsi ilmu dan pengalaman mengasah pisau kepada sesiapa sahaja yang berminat, khususnya golongan muda.

Baginya, kemahiran itu bukan sekadar pekerjaan sampingan, tetapi ilmu praktikal yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, membantu masyarakat serta diwarisi generasi seterusnya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved