
KUANTAN - Pahang International Scout Scarf Festival (PISSF) 2025 sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai festival pengakap dengan penyertaan paling ramai, yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) di sini, pada Sabtu.
Rekod itu dilakar menerusi penyertaan seramai 22,825 peserta dari seluruh negara termasuk penglibatan 12 negara luar seperti Indonesia, Brunei, Pakistan, Vietnam, Filipina, Thailand, India, Singapura, Arab Saudi dan Jepun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka tersebut sekali gus menjadikan festival berkenaan sebagai yang paling ramai penyertaan pernah direkodkan sebelum ini.
“Bukan mudah untuk menguruskan festival sebesar ini memandangkan kehadiran peserta yang begitu ramai.
"Namun, tujuan utama kita ialah menyemai nilai disiplin, mengajar anak-anak menghormati orang lain serta membentuk mereka sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan PISSF 2025 di SUKPA, di sini, pada Sabtu.
Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kehadiran puluhan ribu peserta itu secara tidak langsung menepis dakwaan kononnya Pahang ketinggalan dari segi pembangunan.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada golongan muda supaya sentiasa menghargai persahabatan dan menjaga silaturahim.
“Kita mesti belajar menghormati perbezaan pandangan. Yang penting, cari titik persamaan dan dengan ukhuwah yang kukuh, kita boleh membangunkan negeri serta negara,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran anak-anak pengakap ke Pahang kerana penganjuran festival tersebut turut memberi limpahan ekonomi, selain berperanan sebagai platform mempromosikan negeri ini.
“Mereka juga dapat melihat sendiri pembangunan di Pahang sekali gus menepis sebarang tuduhan atau tohmahan liar yang mengatakan negeri ini tidak membangun dan sebagainya,” jelasnya.




