Google nampaknya cuba sedaya upaya membawa semua perkhidmatan popular pada Pixel mereka di Malaysia. Pada mulanya mereka bekerjasama dengan Samsung untuk Galaxy S24 Ultra menjadi Pixel untuk global, kemudian tiga Pixel 9 dijual di Malaysia pula. Terbaru, dua ciri eksklusif Pixel disahkan masih terhad dan menariknya Malaysia adalah antara negara eksklusif.

Dua aplikasi baharu peranti Google Pixel adalah Pixel Screenshot dan Pixel Studio. Ia ditawarkan pada Pixel 9, Pixel 9 Pro, Pixel 9 Pro XL dan Pixel 9 Pro Fold. Walaupun aplikasi ini boleh dipasang secara sisi pada mana-mana peranti Android, penggunaannya dihadkan kepada siri Pixel 9 sahaja. Terbaru, 9to5Google berkongsi yang ciri ini turut hanya boleh digunakan di 8 negara daripada lebih 20 negara Pixel 9 dijual iaitu ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, India, Ireland, Singapura, dan Malaysia.

Pixel Screenshot adalah aplikasi album khas untuk tangkapan layar sahaja di mana Gemini boleh memahami konteks dalam setiap imej termasuk teks, pautan serta turut boleh menterjemah dan mencari maklumat lanjut. Sementara Pixel Studio adalah aplikasi menjana imej dengan prom teks. Aplikasi ini menggunakan model AI yang diproses dari dalam peranti, pengguna perlu berusia 18 tahun ke atas dan tidak semua akaun Google boleh menggunakannya.
Pixel 9 Pro XL dijual di Malaysia pada harga bermula RM5,699. Anda boleh baca artikel ulasan kami di sini, jika ingin tahu adakah berbaloi memiliki sebuah Pixel di Malaysia atau alternatif Galaxy S24 Ultra lebih baik.


