Pizza Hut Melancarkan Pemanas Piza Yang Menggunakan PlayStation 5

TechnologyDigital
12 Nov 2024 • 4:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

PlayStation 5 adalah konsol permainan generasi baharu Sony yang cukup berkuasa. Ia boleh menjalankan pelbagai permainan video dengan grafik yang berkualiti serta dengan prestasi yang konsisten. Satu masalah yang terkenal dengan kebanyakan konsol termasuk PS5 adalah pemanasan dan terbaru, Pizza Hut telah mengambil kesempatan ke atasnya.

Pizza Hut telah melancarkan pemanas piza PIZZAWRMR yang menggunakan PS5. Pemanas piza ini hanyalah satu rekaan sahaja yang pengguna perlu cetak sendiri menggunakan fail STL yang disediakan secara rasmi. Ideanya adalah, sambil bermain permainan video – piza dapat dipanaskan. Rekaan pemanas ini boleh memuatkan piza said sederhana dan makanan lain yang bersaiz kecil.

image is not available

PIZZAWRMR dipasang pada konsol dan bahagian kekisi untuk aliran udara panas diperangkap untuk dialihkan kepada piza. Pizza Hut turut mengeluarkan peringatan kepada pengguna untuk menggunakan bahan cetakan 3D yang mesra dengan makanan kerana kebanyakannya mengandungi bahan kimia berbahaya. Kemudian selepas cetakan selesai, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan foil aluminium sebagai alas.

image is not available

Fail cetakan 3D ini disediakan secara percuma dan boleh diakses oleh semua orang tidak kira dari mana. Cuma, untuk mendapatkannya anda perlu memberi nama, alamat emel dan negara asal.