liza17/08/2026 - 09:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menegaskan pihaknya tidak pernah terlibat dengan sebarang kegiatan untuk mengelak pembayaran tarif, pengisytiharan palsu atau penghantaran semula eksport perdagangan secara haram.
Pengerusi PKFZ, Lim Lip Eng berkata kehadiran syarikat yang mempunyai kaitan dengan China atau barangan antarabangsa di kawasan zon bebas Malaysia tidak seharusnya dianggap ada kaitan dengan cubaan untuk mengelak tarif atau penghantaran semula secara haram.
Lim berkata Malaysia merupakan hab pembuatan dan logistik serantau yang penting, justeru aktiviti perdagangan antarabangsa secara semula jadi melibatkan rantaian bekalan global, pemprosesan perantaraan, pengumpulan barangan dan aktiviti eksport semula.
Beliau berkata PKFZ sebagai hab logistik bersepadu dan zon bebas berhampiran Pelabuhan Klang beroperasi mengikut rangka kerja kastam serta pematuhan perdagangan Malaysia.
Menurutnya, pelabur, pengilang, pedagang dan pengendali logistik yang menjalankan aktiviti di PKFZ tertakluk kepada proses saringan, penelitian sewajarnya dan pelbagai keperluan kawal selia.
“Penentuan asal barangan serta pengeluaran sijil asal barangan merupakan tanggungjawab pihak berkuasa kerajaan berkaitan dan bukannya PKFZ.
“Ini penting kerana asal sesebuah barangan perlu ditentukan berdasarkan proses dan dokumen yang berkaitan, terutama bagi penghantaran yang ditujukan ke pasaran AS,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan bertajuk “The Great Transshipment Scam: Rise, Scope and Costs” yang menyenaraikan Malaysia antara lebih 40 negara yang didakwa menjadi laluan bagi kegiatan penghantaran barangan secara tidak sah untuk mengelakkan tarif.
Dalam laporan berkenaan, Malaysia diletakkan dalam kategori Tahap 2 sebagai negara yang mempunyai skala perdagangan besar dan hubungan integrasi yang ketara dengan China.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa pelabuhan laut dalam, hab pembuatan dan zon perdagangan bebas di Malaysia berpotensi digunakan untuk menyamarkan asal barangan China sebelum dieksport ke AS bagi mengelakkan tarif Seksyen 301 serta duti anti-lambakan.
MITI Perketatkan Proses Pengesahan Asal Barangan
Bagi penghantaran ke AS, Lim berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjadi satu-satunya pihak yang mengeluarkan sijil asal sejak 6 Mei 2025.
Katanya, dewan perniagaan dan persatuan perniagaan tidak lagi diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil berkenaan bagi eksport yang dihantar ke AS.
Menurutnya, proses pensijilan MITI adalah menyeluruh dan memerlukan pelbagai dokumen termasuk analisis kos, pengisytiharan berkanun, maklumat syarikat serta pembuatan, dokumen bahan mentah, carta aliran pengeluaran dan dokumen komersial sokongan.
Lim berkata kelulusan sijil tersebut pula diberikan berdasarkan setiap penghantaran yang membolehkan maklumat berkaitan barangan dan proses pengeluarannya dinilai sebelum eksport dibuat.
Beliau berkata MITI turut memperkukuh proses audit dan pengesahan serta bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani kemungkinan kesalahan penghantaran semula secara haram.
PKFZ Sedia Bekerjasama Dengan Pihak Berkuasa
Lim berkata PKFZ akan bekerjasama dengan MITI, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa lain sekiranya terdapat petunjuk berlakunya ketidakpatuhan terhadap peraturan perdagangan.
Menurutnya, PKFZ juga akan mengambil tindakan sewajarnya dalam lingkungan bidang kuasa yang dimilikinya sekiranya terdapat pelanggaran peraturan.
“PKFZ juga mengalu-alukan penelitian lebih menyeluruh dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap kes penipuan perdagangan yang benar-benar berlaku,” katanya.
Beliau berkata persekitaran perdagangan yang telus dan berasaskan peraturan penting untuk melindungi pelabur yang menjalankan perniagaan secara sah, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan pembuatan serantau.
Lim menegaskan bahawa aktiviti perdagangan antarabangsa yang melibatkan syarikat China, barangan dari pelbagai negara atau proses eksport semula tidak boleh secara automatik dianggap sebagai cubaan mengelakkan tarif, selagi semua aktiviti tersebut mematuhi peraturan dan keperluan perdagangan yang ditetapkan. - DagangNews.com


