
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump menuduh puluhan negara, termasuk Malaysia membantu China mengelak tarif Amerika Syarikat (AS) secara haram, sekali gus menyebabkan kerajaan kehilangan puluhan bilion dolar hasil setiap tahun.
Dalam laporan yang diterbitkan pada Khamis, Rumah Putih berkata, lebih 40 negara terlibat dalam rangkaian logistik tersembunyi yang memudahkan kemasukan barangan China ke AS menggunakan label palsu.
Pejabat Dasar Perdagangan dan Pembuatan berkata, antara negara yang paling banyak membantu China dalam apa yang digelar sebagai ‘Penipuan Penghantaran Semula Besar-besaran’, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Mexico, Kanada, India, Jepun dan Korea Selatan.
Negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia dan Kemboja turut memainkan peranan penting dalam rangkaian itu, menurut pejabat berkenaan.
Menurut laporan itu, sektor pembuatan AS yang paling terjejas akibat penghantaran semula barangan berkenaan termasuk peralatan elektrik, litar bersepadu, produk aluminium dan komponen kenderaan.
“Setiap dolar yang hilang akibat Penipuan Penghantaran Semula Besar-besaran ini adalah satu dolar yang dicuri daripada pekerja, pengilang dan pembayar cukai AS,” kata pejabat yang diketuai Peter Navarro, lantikan Trump dalam laporan itu.
Kedutaan China di Washington tidak segera memberikan komen berhubung dakwaan berkenaan selepas permintaan dihantar di luar waktu pejabat.
Puluhan negara yang disenaraikan dalam laporan itu juga belum memberikan maklum balas secara terbuka terhadap dakwaan berkenaan.
Rumah Putih memberi amaran negara yang memudahkan penghantaran semula akan dipantau sambil berkata, pihak berkuasa sempadan telah menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggabungkan data penghantaran dan maklumat lain sebagai sebahagian daripada usaha memperketat penguatkuasaan.
“Mesej kepada dunia adalah mudah. Zaman penghantaran semula haram yang tidak dapat dikesan sudah berakhir.
“Apa yang sebelum ini kelihatan seperti urusan dokumentasi secara senyap seperti menukar label, membungkus semula dan mengeluarkan invois baharu kini menjadi soal kedaulatan ekonomi dan kemahuan negara,” kata pejabat perdagangan itu.
Trump mengubah landskap perdagangan global menerusi pelbagai dasar perlindungan perdagangan sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari tahun lalu.
Dalam langkah perdagangan terbaharu, pentadbiran Trump mengumumkan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus terhadap import dari puluhan negara yang didakwa menutup mata terhadap buruh paksa.
Sebanyak 25 negeri AS yang diterajui Parti Demokrat, termasuk New York, California dan Colorado, mencabar tarif itu di mahkamah dengan menyifatkannya sebagai alasan untuk mengenakan semula tarif besar-besaran ‘Hari Pembebasan’ Trump yang dibatalkan Mahkamah Agung AS pada Februari.
Pakar Perdagangan Universiti Nasional Singapura, Amitendu Palit menyifatkan laporan Rumah Putih itu sebagai usaha terbaharu pentadbiran Trump untuk memaksa negara lain membuka lebih banyak akses pasaran kepada barangan AS.
“Pembatalan tarif Hari Pembebasan menyebabkan kerugian besar kepada pentadbiran Trump, bukan sahaja dari segi bayaran balik yang terpaksa dibuat, tetapi juga dari segi kredibiliti.
“Oleh itu, pentadbiran itu kini mencari semakin banyak bentuk ‘inovatif’ untuk menjadikan akses pasaran sebagai senjata. Ini menyusuli tarif Seksyen 301 yang sebelum ini dikenakan terhadap beberapa negara kerana gagal mengehadkan penggunaan buruh paksa,” kata Palit kepada Al Jazeera.
The post AS tuduh puluhan negara bantu China elak tarif Trump appeared first on Utusan Malaysia.






