PKR kini di ‘suku terakhir’ perjuangan reformasi

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 1:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PKR kini di ‘suku terakhir’ perjuangan reformasi

MELAKA: PKR kini memasuki fasa ‘suku terakhir’ untuk melengkapkan agenda reformasi yang diperjuangkan sejak hampir tiga dekad lalu.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tempoh ini adalah amat penting bagi menentukan hala tuju parti, terutama selepas beberapa keputusan pilihan raya yang menunjukkan terdapat perubahan dalam corak sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Data-data ini memberikan satu kesedaran yang penting. Kita sekarang berada dalam quarter terakhir untuk melengkapkan proses perubahan dan reformasi dalam negara ini.

“Perjuangan reformasi sejak 1998 telah mengarusperdanakan perkara yang sebelum ini dianggap janggal dalam politik negara termasuk demokrasi, hak asasi, pengagihan ekonomi yang adil serta kerajaan yang bertanggungjawab.

“Kemunculan reformasi turut membawa kepada penubuhan Keadilan sebagai parti berbilang kaum yang menawarkan model baharu politik kepada rakyat Malaysia,” katanya menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Amirudin justeru mengingatkan anggota parti supaya tidak terlalu berbangga sekiranya PKR hanya berjaya memenangi hati satu kelompok sebaliknya perlu mencari keseimbangan dalam membela semua kaum.

“Kita masih belum benar-benar berjaya. Kita tidak boleh terlalu berbangga sekiranya kita hanya berjaya memenangi hati satu kelompok. Kita kena fikir bagaimana hendak mencari keseimbangan itu,” katanya.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dan PKR merosot daripada sekitar 19 hingga 20 peratus pada 2022 kepada tujuh hingga lapan peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, pada PRN di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan apabila sokongan pengundi Melayu kepada PH meningkat daripada sekitar 18 peratus pada 2022 kepada 21 peratus pada tahun ini.

“Data ini perlu dijadikan kesedaran oleh parti untuk memperkemas pendekatan dan memahami perubahan politik semasa, khususnya dalam usaha memastikan agenda reformasi dapat dilengkapkan,” katanya.

Beliau menegaskan, perjuangan PKR juga tidak boleh hanya berorientasikan kemenangan pilihan raya, sebaliknya anggota perlu jelas mengenai perkara yang mahu diperjuangkan bagi memastikan agenda reformasi dapat dilengkapkan.

Amirudin berkata, tempoh mendatang merupakan fasa penting untuk PKR menerajui perubahan negara, selain memperkukuh jentera dan memahami perkembangan semasa termasuk kecenderungan pengundi muda.

Menurut beliau, PKR juga perlu mengubah pendekatan komunikasi dengan memahami bahasa dan budaya generasi muda supaya mesej perjuangan parti lebih mudah diterima golongan berkenaan.

“Sebab itu, apabila kita bercakap dengan orang muda, kita mesti bercakap dalam bahasa yang mereka faham. Kalau kita bercakap dengan mereka tetapi mereka tidak faham, bagaimana kita hendak mendekati mereka?” katanya. – UTUSAN

The post PKR kini di ‘suku terakhir’ perjuangan reformasi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved