‘Saya Nurul Izzah dan akan kekal sebagai Nurul Izzah’

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Saya Nurul Izzah dan akan kekal sebagai Nurul Izzah’

MELAKA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau akan terus bersama-sama mendukung perjuangan reformasi meskipun bakal memikul amanah menerusi ruang yang berbeza.

Beliau berkata, jawatan bukan satu-satunya wadah untuk berkhidmat kerana setiap amanah mempunyai tempohnya manakala perjuangan perlu diteruskan dalam pelbagai bentuk.

“Insya-Allah, Keadilan akan terus memikul amanah. Saya juga akan terus memikul amanah melalui ruang yang berbeza tetapi saya akan bergerak seiring dengan tujuan yang sama.

“Saya Nurul Izzah dan saya akan kekal sebagai Nurul Izzah, anak Reformasi 1998,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Nurul Izzah berkata, perjuangannya akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, memelihara maruah serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

Katanya, matlamat itu penting bagi membantu membina sebuah negara yang lebih adil meskipun proses Reformasi memerlukan masa dan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Menurut beliau, jawatan dan gelaran akan silih berganti, namun kerja serta nilai yang dipertahankan seseorang akan terus menjadi ukuran selepas mereka tidak lagi memegang sesuatu kedudukan.

“Setiap amanah sudah tentu mempunyai waktunya, termasuklah sesuatu jawatan. Amanah yang datang bersamanya mestilah dipandang serius, tetapi ia bukan satu-satunya wadah.

“Dalam tradisi kita, amanah tidak pernah menjadi milik peribadi. Ada waktunya kita menerima, ada waktunya kita mengikut dan ada waktunya kita mendukung dengan cara yang berlainan,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Saya Nurul Izzah dan akan kekal sebagai Nurul Izzah’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved