
LAHAD DATU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah kini sedang meneliti senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Bendaharinya Datuk Nordin Ening berkata PKR Sabah sudah mempunyai senarai calon namun akan diteliti dengan sebaiknya.
“Kita mahu semua calon yang dipilih untuk PRN Sabah nanti boleh menang dan disukai rakyat.
“Buat masa ini, kita masih menunggu dan merujuk semula kepada Majlis Pimpinan Pusat untuk memutuskan calon yang dipilih nanti,” katanya.
Nordin yang juga Pimpinan Tertinggi PKR Sabah berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Cabang Silam, Sabtu.
Sementara itu, Nordin berkata keputusan mengenai gabungan atau kerjasama akan diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.
Tambahnya, pucuk pimpinan parti diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat keputusan selepas merujuk kepada pandangan Majlis Pimpinan Negeri yang baru nanti.
