BN pilih kempen berhemah, fokus agenda rakyat pada PRN Johor

LocalPolitics
14 Jun 2026 • 1:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BN pilih kempen berhemah, fokus agenda rakyat pada PRN Johor
Ahmad Zahid (dua kanan) menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan pendekatan menyerang mana-mana individu atau parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda rakyat dan tawaran dasar yang lebih baik kepada pengundi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua jentera parti di peringkat nasional dan negeri telah diingatkan supaya memberi fokus kepada usaha menyantuni rakyat serta memahami keperluan mereka.

"Kita tidak mengambil pendekatan untuk menyerang sesiapa atau mana-mana parti politik. Jentera parti telah diarahkan supaya memberi fokus kepada rakyat dan menawarkan agenda yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, di sini pada Ahad.

Terdahulu beliau diminta mengulas pendekatan sesetengah parti politik yang dilihat menggunakan serangan terhadap individu dan parti lawan sepanjang kempen pilihan raya.

Zahid berkata, BN mahu kempen yang dijalankan lebih tertumpu kepada usaha menyelesaikan isu rakyat berbanding mencetuskan polemik politik.

"Seboleh mungkin kita tidak menyerang mana-mana pihak. Jika diserang, kita akan menjawab, tetapi bukan untuk menyerang mana-mana pihak," katanya.

PRN Johor ke-16 dijangka berlangsung pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal pada 7 Julai.