'PKR terluka, namun bukan dititik terendah' - Fuziah

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 9:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'PKR terluka, namun bukan dititik terendah' - Fuziah
Fuziah berucap pada Kongres Nasional Keadilan 2026 pada Sabtu.
Image from: 'PKR terluka, namun bukan dititik terendah' - Fuziah
Perwakilan yang hadir pada Kongres Nasional Keadilan 2026 pada Sabtu.

AYER KEROH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melalui fasa sukar dan terluka susulan beberapa perkembangan politik serta keputusan pilihan raya, namun keadaan itu bukan titik terendah dalam sejarah perjuangan parti berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti itu perlu cukup matang untuk mengakui kelemahan, membaca realiti dan belajar daripada pengalaman tanpa membiarkan luka menentukan masa depan perjuangan.

“Kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa, pernah sedih dan pernah terluka.

“Kita tidak boleh membiarkan luka menentukan masa depan kita. Luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC di sini pada Sabtu.

Perasmian disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Bendahari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

**media[3615540]**

Katanya, PKR hadir pada kongres kali ini bukan dalam keadaan semangat berada di kemuncak selepas melalui tempoh mencabar yang meninggalkan kesan kepada perjuangan parti.

Beliau berkata, beberapa pilihan raya turut menguji kekuatan PKR sehingga parti itu kehilangan beberapa medan yang sebelum ini menjadi sandaran perjuangan termasuk negeri yang pernah diterajui.

“Namun, kongres ini bukan tempat untuk kita menuding jari, mencari siapa yang salah atau membalas apa yang telah berlaku.

“Sebaliknya, kita perlu cukup matang untuk membaca realiti, cukup jujur untuk mengakui kelemahan dan cukup berani untuk belajar daripada pengalaman,” katanya.

Fuziah berkata, keadaan ketika bukan titik terendah dalam sejarah PKR kerana parti itu pernah melalui situasi lebih sukar selepas Pilihan Raya Umum 2004.

Katanya, ketika itu PKR hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Permatang Pauh berbanding lima kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada 1999.

“Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara. Ramai bertanya, mampukah PKR bertahan, mampukah perjuangan ini diteruskan dan adakah parti ini akan terus wujud?

“Kita kehilangan anggota. Ada yang kecewa, ada yang hilang keyakinan malah ada yang merasakan perjuangan ini mungkin sudah sampai ke penghujungnya.

“Tetapi kita tidak menyerah, tidak membubarkan parti dan meninggalkan perjuangan,” katanya.

Fuziah menegaskan, PKR belum selesai dan perjuangan parti itu masih panjang walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Kita masih mempunyai organisasi, masih mempunyai wakil rakyat, masih mempunyai anggota di seluruh negara dan masih mempunyai pengalaman mentadbir. Mengapa hari ini kita mahu menganggap diri kita sudah selesai?

“Tidak. Kita belum selesai. Perjuangan belum selesai,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved