PKR tiada duit, saya sendiri pening fikir cara berkempen – Boon Lye nafi beli undi

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 10:32 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Yew Boon Lye, menyangkal dakwaan kononnya PKR mengagihkan wang kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Image from: PKR tiada duit, saya sendiri pening fikir cara berkempen – Boon Lye nafi beli undi

Memetik laporan malaysiakini, dakwaan itu timbul selepas tular video dan beberapa gambar di media sosial yang memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Bukit Pelanduk, dipercayai untuk menerima wang.

Rakaman video dan beberapa keping gambar itu turut dikongsikan menerusi akaun Facebook rasmi MCA dengan kapsyen yang mendakwa berlaku aktiviti pembelian undi oleh sebuah parti politik.

Meskipun hantaran berkenaan tidak menamakan mana-mana parti secara langsung, ia dipercayai merujuk kepada PKR kerana saingan di DUN Chuah hanya melibatkan dua parti, iaitu MCA dan PKR.

Ketika dihubungi media, Yew berkata beliau masih belum sempat menonton video tular tersebut kerana sedang memberi tumpuan kepada jadual kempen pilihan raya.

Namun, beliau menafikan penglibatan pasukan kempennya dalam sebarang aktiviti seperti yang didakwa.

“Tak ada, mana PKR ada wang. Saya pun pening memikirkan kempen saya sendiri.
“Saya tak tahu siapa yang buat macam ini. Kami pun tak ada maklumat. Saya harap perkara macam ini tak berlaku lagi,” katanya.

Yew turut menyatakan beliau mengalu-alukan sekiranya pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya tak ada kuasa untuk menyiasat. Saya memang alu-alukan siasatan daripada pihak berkuasa,” tambahnya lagi.

Image from: PKR tiada duit, saya sendiri pening fikir cara berkempen – Boon Lye nafi beli undi

Salah satu video yang tular memperlihatkan orang ramai mengerumuni beberapa individu yang sedang duduk di meja sebuah restoran.

Malah, seorang daripada individu terbabit dilihat mengambil gambar MyKad menggunakan telefon pintar, manakala satu lagi gambar yang tersebar menunjukkan sekurang-kurangnya tiga keping wang RM100 dimasukkan ke dalam sampul.

Buat laporan polis

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom, menggesa mana-mana individu yang menyaksikan perbuatan rasuah supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Jika ada orang yang menyaksikan perbuatan rasuah, mereka harus membuat laporan kepada SPRM,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, memaklumkan partinya akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pertembungan di DUN Chuah pada pilihan raya kali ini menyaksikan Yew mempertahankan kerusinya berdepan calon MCA, Pau Jeou Ching.

Pada PRN 2023, Yew yang mewakili PH berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selepas meraih 8,172 undi, menewaskan calon PN-Gerakan, Tang Jay Son, yang memperoleh 1,874 undi.

Artikel lain: “Jangan fitnah saya!” -PM Anwar kesal jadi mangsa tuduhan palsu PRN

Kemenangan itu menyaksikan Yew memperoleh majoriti sebanyak 6,298 undi, dengan peratusan keluar mengundi direkodkan pada kadar 67.3 peratus.

Untuk rekod, PH bertanding pada PRN 2023 dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

Sumber: malaysiakini (Hariz Mohd)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved