
PETALING JAYA – Bersempena sambutan bulan kebangsaan, Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. (Planworth) mengumumkan peruntukan pembiayaan tanpa cagaran berjumlah RM1 bilion bagi memperkukuh akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Peruntukan strategik itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk membantu usahawan memperoleh akses kepada modal kerja yang pantas, fleksibel dan mencukupi bagi merealisasikan peluang perniagaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy berkata, kejayaan sesebuah perniagaan bukan sekadar bergantung kepada kemampuan memperoleh kontrak, sebaliknya turut memerlukan aliran tunai dan modal kerja yang mencukupi bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Memiliki kontrak hanyalah permulaan. Cabaran sebenar adalah memastikan syarikat mempunyai modal kerja yang mencukupi untuk mendahulukan kos operasi, rantaian bekalan dan tenaga kerja sebelum bayaran diterima daripada pelanggan.
“Di Planworth, kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah menjadi rakan strategik yang membantu usahawan mengekalkan momentum pelaksanaan projek, merebut lebih banyak peluang perniagaan dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Melalui penyelesaian pembiayaan invois, Planworth membantu pembekal dan penyedia perkhidmatan memperoleh akses kepada pembiayaan dengan lebih pantas, sekali gus memperkukuh aliran tunai, memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.
Sebagai peneraju dalam pembiayaan alternatif bukan bank, Planworth menyediakan penyelesaian pembiayaan tanpa cagaran yang mengutamakan
kelajuan, fleksibiliti dan ketelusan.
Proses kelulusan boleh dilakukan seawal tiga hari bekerja, tertakluk kepada penilaian dan kelengkapan dokumen, dengan pengeluaran dana yang pantas selepas syarat dipenuhi serta dokumentasi yang ringkas tanpa caj tersembunyi.
Menurut Kuek Andy, peruntukan RM1 bilion itu turut mencerminkan komitmen Planworth dalam memperkukuh peranan PMKS sebagai antara penggerak ekonomi negara.
“Apabila aliran tunai mereka kukuh, mereka mampu mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasakan industri tempatan dan merancakkan aktiviti ekonomi.
“Aspirasi kami adalah untuk melihat lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi peneraju dalam industri masing-masing serta membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” tegas beliau.
Sehingga kini, Planworth telah membiayai hampir RM4 bilion dan menyokong nilai kontrak melebihi RM5 bilion merentasi pelbagai industri. -KOSMO! ONLINE
The post Planworth tawar pembiayaan RM1 bilion tanpa cagaran perkukuh akses PMKS appeared first on Kosmo Digital.



