
KUALA LUMPUR – Sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara terus mengukuh apabila nilai tambah sektor itu meningkat kepada RM689.8 bilion pada 2025, hampir mencecah sasaran RM700 bilion yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, prestasi tersebut membuktikan PMKS kekal menjadi pemacu utama ekonomi negara apabila menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, berbanding 39.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sektor PMKS turut mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
“PMKS mencatat pertumbuhan 5.7 peratus dengan nilai tambah RM689.8 bilion. Ini menunjukkan sumbangan sektor ini kepada KDNK negara semakin besar dan menjadi antara tonggak utama ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang akhbar pengumuman Prestasi PMKS 2025 di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.
Steven Sim berkata, sebanyak 1.29 juta PMKS kini beroperasi di seluruh negara, mewakili 96.2 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia dengan majoritinya terdiri daripada perusahaan mikro.
Menurut beliau, sektor perkhidmatan terus mendominasi landskap PMKS dengan 1.08 juta firma atau 83.7 peratus daripada keseluruhan perusahaan, diikuti pembinaan, pembuatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.
Katanya, prestasi positif itu turut diterjemahkan kepada peningkatan eksport PMKS sebanyak 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion, sekali gus menyumbang 14.7 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Selain itu, sektor PMKS menyediakan peluang pekerjaan kepada 8.09 juta pekerja, meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan mewakili hampir separuh daripada keseluruhan guna tenaga negara.
Beliau berkata, menerusi kempen Power Up 10K, kementerian menyasarkan penyaluran RM15 bilion dalam bentuk pembiayaan, geran dan dana kepada PMKS tahun ini selain membantu 10,000 syarikat meningkatkan skala perniagaan.
Tambahnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Kuskop telah menyalurkan RM7 bilion kepada lebih 213,000 usahawan dan syarikat di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post PMKS sumbang hampir RM700 bilion kepada ekonomi negara appeared first on Kosmo Digital.






