PLATS mahu perluas urus niaga guna peranti ‘Bayarlah’ di bazar Ramadan

27 Mar 2023 • 2:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 27 MAC: Platform Selangor (PLATS) berhasrat memperluas urus niaga menggunakan peranti ‘Bayarlah’ dalam kalangan peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

Penyelarasnya berkata setakat ini kaedah bayaran tanpa tunai itu diperkenal kepada peniaga Bazar Ramadan Seksyen 7 di sini hasil kerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Seramai 15 daripada 20 peniaga bazar terbabit sudah mendaftar (Bayarlah) dan kita sasar semua peniaga di situ terlibat. Pasukan PLATS akan turun lagi minggu ini bagi membantu peniaga.

“Kita juga akan turun ke Bazar Ramadan Seksyen 20 selain merancang ke bazar sekitar Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang untuk memperluaskan kaedah ini,” kata Siti Nur Hazwani Md Sabudin.

Melalui kaedah itu, beliau berkata peniaga bazar boleh menerima tempahan awal daripada pelanggan manakala pembeli dapat berhubung terus dengan peniaga.

Nur Hazwani bagaimanapun menyaran pembeli membuat tempahan lebih awal sebelum mengambil tempahan tersebut berikutan kesibukan peniaga di lapangan.

“Peniaga mungkin berdepan cabaran untuk memastikan operasi perniagaan mereka mampu berjalan seiring dengan transaksi fizikal dan dalam talian.

“Kebanyakan mereka sibuk dengan urusan di lapangan dan tidak sempat semak tempahan dalam talian. Jadi disaran pembeli tempah lebih awal,” katanya.

PLATS diperkenal Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April 2021, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan April tahun lepas melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan.