PLUS aktifkan laluan kontra di Lebuhraya NKVE mulai 19 Mei hingga 18 Jun 2023
zulfadli
18/05/2023 - 15:17
KUALA LUMPUR 18 Mei - PLUS Malaysia Bhd mengaktifkan laluan kontra di antara Shah Alam-Subang di KM9.5 hingga KM11.7 di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) bermula 19 Mei hingga 18 Jun 2023, mulai pukul 11 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf Jambatan KTMB di KM11.25 (Arah Utara) yang merentangi Lebuhraya NKVE dilaksanakan dengan lancar.
Justeru itu katanya, pengguna lebuh raya dari Shah Alam menghala ke Subang atau utara dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut.
"Pada masa sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan dikeluarkan pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit," katanya.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000, Chatbot PUTRI atau menerusi aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. - DagangNews.com


