Plytec sasar kumpul RM37.1 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Business & Finance
24 Oct 2023 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Plytec sasar kumpul RM37.1 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

diyana

24/10/2023 - 16:10

KUALA LUMPUR 24 Okt - Plytec Holding Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM37.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 November menerusi terbitan 106.06 juta saham baharu berdasarkan harga 35 sen sesaham.

Dengan modal saham diperbesarkan sebanyak 606 juta saham, penyedia rumusan dan perkhidmatan kejuruteraan pembinaan tersebut akan mempunyai permodalan pasaran bernilai RM212.1 juta selepas penyenaraian.

Daripada jumlah RM37.1 juta itu, Plytec berkata RM9 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman, diikuti RM8 juta bagi perbelanjaan modalnya.

Sementara itu, RM7.8 juta akan digunakan untuk pembinaan kilang dan penginapan buruh berpusat di Olak Lempit, Banting.

Manakala RM6.3 juta diperuntuk bagi modal kerjanya, RM4 juta untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian dan baki RM2 juta unruk membeli sistem perisian dan perkakasan.

Permohonan untuk IPO kini dibuka dan akan ditutup pada jam 5 petang pada 31 Oktober.

Pengarah Urusan Kumpulan Plytec merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Yang Kian Lock berkata kumpulan itu berhasrat menggunakan sebahagian besar daripada hasil IPO untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan dengan tujuan untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar.

“Kami kekal komited terhadap inovasi, kecekapan dan kepimpinan pasaran, dan pendekatan proaktif memastikan kami kekal di hadapan dalam reka bentuk digital dan rumusan kejuruteraan, menawarkan perkhidmatan termaju kepada pelanggan kami.

“Dengan adanya rancangan ini, Plytec bersedia untuk masa depan yang cerah merentasi pelbagai segmen perniagaannya,” ujar beliau dalam kenyataan media selepas melancarkan prospektus syarikat hari ini.

KAF Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin pengurusan, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama untuk IPO, manakala Kenanga Investment Bank Bhd ialah penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama. - DagangNews.com