PM Akan Umum Projek Rumah Mampu Milik Babit Kos Pelaburan RM13 Bilion

28 Nov 2024 • 10:37 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan projek pembinaan rumah mampu milik terbesar pada bulan depan membabitkan kos pelaburan mencecah RM13 bilion.

image is not available

Foto: Facebook Nga Kor Ming

Menurut laporan Berita Harian, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pengumuman itu bakal menunjukkan komitmen kuat Kerajaan Perpaduan dalam memastikan rakyat dapat memiliki rumah.

“Ini satu jumlah yang besar dan menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam usaha memastikan semua rakyat mampu miliki rumah.

“Sudah tentu penjawat awam juga tidak akan ketinggalan dan mereka juga akan diberikan ruang dan peluang kepada yang memerlukan.

“Perincian projek kita tunggu pengumuman Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Menaik Taraf Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pada Rabu.

image is not available

Foto hiasan

Sebelum ini media melaporkan statistik terkini mendedahkan sebanyak 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat tidak mempunyai rumah milik sendiri.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menjawab bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dilaporkan berkata, daripada jumlah tersebut, sebilangan besar iaitu 431,277 adalah terdiri daripada kumpulan pelaksana yang paling memerlukan bantuan untuk memiliki rumah.

Sumber: Berita Harian (Nor Fazlina Abdul Rahim)