PM Anwar anggap insiden anak Rafizi budaya melampau – “Saya jamin KDN, polis bertindak pantas”

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 11:23 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk insiden yang berlaku terhadap anak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan menganggapnya sebagai budaya melampau di dalam negara.

Menurut laporan Astro Awani, beliau akan memastikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh telus bagi mengelakkan kejadian itu berulang kembali.

Budaya melampau

image is not available

“Kita menzahirkan rasa dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau dalam negara kita, selain buli, kemudian kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan menerima serangan.

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara untuk meneruskan siasatan yang telus dan rapi, kerana budaya ini sangat membimbangkan.

“Saya beri jaminan bahawa apa yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan dengan cara yang telus.

“Bukan sahaja untuk mengambil tindakan, tetapi menghentikan budaya yang jahat ini,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Budaya melampau

image is not available

Terdahulu, Rafizi mendakwa anaknya telah diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Selasa.

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar jam 1.45 petang ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka, dan dipercayai telah menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai.

Sumber: Astro Awani (Hasimi Muhamad)