PM Anwar Gesa Semua Aktivis Malaysia, Antarabangsa Dibebaskan Kadar Segera

2 Oct 2025 • 1:44 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PM Anwar Gesa Semua Aktivis Malaysia, Antarabangsa Dibebaskan Kadar Segera

KUALA LUMPUR — Kerajaan Malaysia menggesa agar semua aktivis, sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera selepas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dipercayai dipintas Israel.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima maklumat berhubung isu berkenaan.

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera!

“Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.

“Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan.

“Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel,” katanya.

Beliau menyifatkan flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.

“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” jelas Anwar.

Tambah Anwar, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman serta perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan.

https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial/posts/pfbid0iWrHS1K1KzTWqcPfMoYu7yjVD4PYHKWEunRWKj4Htqff7p2tmZDxYCN21HgECLMzl