PM Anwar ingatkan jangan jadikan kematian Zara Qairina senjata politik

LocalPolitics
18 Aug 2025 • 3:13 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak tidak seharusnya menjadikan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai senjata politik untuk menyerang pihak lain.

Beliau berkata, tindakan mempergunakan penderitaan keluarga mangsa demi kepentingan politik adalah perbuatan tidak berakhlak serta merosakkan kewarasan masyarakat.

Menurutnya, terdapat pihak tertentu termasuk seorang pakar patologi yang didakwa memberikan gambaran palsu berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun itu sebelum menyebarkannya di media sosial hingga meracuni pemikiran jutaan orang.

“Kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar (ada salah laku) tidak mengapa, tetapi mana boleh kita mainkan kematian seseorang itu.

“Apatah lagi menipu dan menghasut begitu rupa. Sebab itu kita harus ada kewarasan. Dalam Islam, kita sebut Tabayyun iaitu meneliti dahulu sebelum menyebarkan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, kerajaan memandang serius beberapa kes buli membabitkan kanak-kanak termasuk kes kematian Zara Qairina di Sabah dan Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman di Kelantan, selain kes-kes buli di sekolah, universiti serta tempat kerja.

Katanya, budaya buli sama ada berbentuk penderaan fizikal mahupun psikologi perlu dihentikan segera kerana ia adalah amalan songsang yang merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Perdana Menteri turut menjelaskan, mesyuarat peringkat tertinggi telah diadakan bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus serta memperbaiki kelemahan yang wujud termasuk kelewatan proses siasatan.

“Tentunya ada beberapa kesilapan yang dikenal pasti dalam proses siasatan, kelewatan dan sebagainya. Tetapi percayalah, kita cuba atasi dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kes kematian Wan Ahmad Faris, 16, yang ditemui mati tergantung di tandas asrama sebuah sekolah agama di Kok Lanas, Kelantan pada 2013, turut dikaitkan dengan unsur buli. Pada awalnya ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun pada 2016 Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan pelajar itu dibunuh.

Susulan itu, keluarga mangsa memfailkan saman sivil terhadap Kerajaan Persekutuan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran tanggungjawab, selain menuntut ganti rugi am, khas dan lain-lain.