PM Anwar Junjung Kasih Pemangku Sultan Johor Anggap Beliau Sahabat

LocalPolitics
23 Jun 2026 • 8:43 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: PM Anwar Junjung Kasih Pemangku Sultan Johor Anggap Beliau Sahabat

TANGKAK (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menganggap beliau sebagai sahabat.

Anwar yang menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas kesudiannya menerima beliau menghadap hari ini, turut menyeru mana-mana pihak, khususnya parti politik untuk tidak mengaitkan institusi diraja dalam kempen pilihan raya.

“Sebab itu apabila Tunku (Mahkota Ismail) berangkat ke Kuala Lumpur dan kata boleh menghadap, saya pun terima dengan baik, dan ini dengan sendirinya menjawab kempen-kempen politik picisan di bawah ini.

“Nak lawan politik tidak berani, (malah) guna nama raja, saya nak beritahu saya runding dengan baik (dengan Pemangku) Sultan Johor,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, di Padang Bukit Gambir Extreme Park, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan PH.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pada pertemuan dengan Tunku Mahkota Ismail di ibu negara, beliau turut mengambil kesempatan menjelaskan projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya yang memberikan manfaat kepada rakyat Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata PH yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan, turut akan mengekalkan hubungan baik dengan Raja-Raja Melayu serta bersedia menerima pandangan, nasihat serta teguran yang dilontarkan institusi diraja.

“Sultan-sultan semua yang saya biasa, saya beri pandangan, saya setuju (dan) ada yang tidak setuju, (kemudian ada) pandangan balas. Kalau sultan nasihat, saya terima dengan baik.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong juga begitu. Seri Paduka Baginda beri pandangan, kita beri pandangan balas dan kita dengar nasihat.

“Betapa pun ada masalah dan tidak setuju dan sebagainya, kita runding dengan baik dan kita menghadap dan jelaskan. Itu pendirian saya selama ini dan ini pendirian yang rakan-rakan saya dalam Pakatan Harapan pegang,” kata beliau.

The post PM Anwar Junjung Kasih Pemangku Sultan Johor Anggap Beliau Sahabat appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved