PM Anwar lancar buku baharu! Setiap sen royalti disumbang bantu pelajar miskin

LocalPolitics
7 Dec 2025 • 6:42 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa setiap sen royalti daripada buku terbarunya, “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times”, akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar kurang berkemampuan di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, buku tersebut akan diterbitkan secara global oleh tiga penerbit utama iaitu Hurst bagi pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah; Penguin bagi rantau Asia; serta Hong Kong University Press bagi pasaran China dan Asia Timur, dengan unjuran royalti dijangka besar.

“… kakitangan saya akan pastikan apabila royalti dihantar, setiap satu sen akan segera disalurkan kepada pelajar miskin di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, hari ini.

image is not available

PM Anwar lancar buku baharu

Jelas beliau, naskhah itu bukan sekadar autobiografi, sebaliknya mengupas isu keadilan, reformasi dan evolusi sosiopolitik Malaysia dalam mendepani era yang digelarnya sebagai ‘zaman pascanormal’.

Buku tersebut turut menyentuh pengalaman peribadi beliau termasuk tempoh pemenjaraan, perjuangan politik, selain memuatkan renungan mengenai demokrasi, pascakolonialisme dan tatakelola negara.

Majlis pelancaran itu turut disertai rakan strategik projek serta orang ramai yang berpeluang mendapatkan tandatangan Perdana Menteri.

image is not available

“Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times” dijual dengan potongan harga 15 peratus di Tsutaya Books sepanjang bulan Disember.

Sumber: FMT (Liam Lisu)