PM Anwar pertahan jemputan Trump, selar pihak pertikai hubungan Malaysia-AS

LocalPolitics
27 Sep 2025 • 7:03 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan bukan alasan untuk Malaysia berdiam diri dalam isu Palestin.

PM Anwar pertahan jemputan Trump

Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan platform itu akan digunakan untuk terus menyuarakan pendirian tegas negara dalam mempertahankan keadilan di Gaza.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik.

“Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan,” katanya.

image is not available

Selar pihak tolak hubungan dengan AS, Trump

Dalam masa sama, Anwar menyelar pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi dan rakyat.

Menurut beliau, nilai eksport semikonduktor Malaysia ke negara itu sahaja mencecah berbilion ringgit dan melibatkan puluhan ribu peluang pekerjaan.

“Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” jelasnya pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 APMM di Sandakan.

image is not available

Malaysia negara kecil bermaruah

Dalam pada masa yang sama, Anwar menegaskan walaupun Malaysia negara kecil, dasar luar yang jelas dan corak diplomasi terbuka menjadikan negara ini terus dihormati dunia, termasuk dilantik sebagai orang tengah dalam beberapa konflik serantau.

image is not available

Difahamkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.

Sumber: Bernama