PM Anwar pulang dari Qatar, meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang

LocalPolitics
16 Sep 2025 • 11:11 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di Pulau Pinang pagi ini selepas pulang dari Doha, Qatar, di mana beliau menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disambut oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sebelum meneruskan agenda rasmi sempena Sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di negeri itu tahun ini.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Pulau Pinang pagi ini dari Doha untuk meraikan Sambutan Hari Malaysia selain menghadiri rapat umum bersama masyarakat. Selamat Hari Malaysia dan selamat bercuti kepada semua,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan ringkas.

Acara kemuncak sambutan akan berlangsung malam ini di PICC@Arena Butterworth dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas; serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Sambutan dijangka lebih meriah dengan persembahan artis terkenal tanah air merangkumi pelbagai kaum, termasuk ratu rock negara Ella, Suki Low, Roshini Balachandran serta artis dari Sabah dan Sarawak.

Pulau Pinang menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia tahun ini, selaras dengan tradisi penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.