PM Anwar rayu rakyat N. Sembilan kekalkan PH, mahu agenda pembangunan diteruskan

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 3:39 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan agenda pembangunan serta pentadbiran negeri dapat diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Kepimpinan yang stabil sangat penting

Menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi PH itu menyatakan kesinambungan kepimpinan yang stabil amat penting ketika negeri berkenaan berada di landasan yang baik, selain menyifatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah mempercepat pelaksanaan pelbagai projek serta inisiatif untuk manfaat rakyat.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang bekerjasama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau melihat pemimpin itu sebagai seorang yang mengutamakan amanah serta sentiasa memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

“Beliau tidak banyak berbicara soal dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerja dan kebajikan rakyat,” katanya.

Negeri Sembilan memerlukan kerajaan yang bersih, berwibawa

Anwar turut menegaskan Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa dan mampu memastikan agenda pembangunan terus dipacu, pelaburan dipertingkatkan, peluang pekerjaan diwujudkan serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Mandat itu bukan untuk mengangkat mana-mana individu, tetapi untuk memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan demi kesejahteraan rakyat, anak-anak kita dan generasi akan datang,” katanya.

Image from: PM Anwar rayu rakyat N. Sembilan kekalkan PH, mahu agenda pembangunan diteruskan

Beliau menambah, sekiranya terus diberi kepercayaan, kerajaan akan bekerja dengan lebih kuat, mendengar pandangan rakyat secara lebih dekat serta memikul amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang makmur, stabil dan maju.

Image from: PM Anwar rayu rakyat N. Sembilan kekalkan PH, mahu agenda pembangunan diteruskan

Semalam, Anwar turut mengumumkan senarai 36 calon PH yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman Calon PH di Dataran Melang, Kuala Pilah yang disaksikan barisan kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.

Turut hadir Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Ketua Penerangan PH, Datuk Seri Fahmi Fadhil.

Senarai calon kali ini menampilkan gabungan muka baharu serta pemimpin berpengalaman daripada PKR, DAP dan AMANAH bagi menghadapi saingan pada PRN Negeri Sembilan.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved