PM Anwar sahkan Turkiye belum bersedia terima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 2:01 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Turkiye masih belum bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Image from: PM Anwar sahkan Turkiye belum bersedia terima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, pendirian itu diketahui selepas menerima penjelasan secara langsung daripada kerajaan Turkiye dua malam lalu, sekali gus menjawab kekeliruan yang timbul berhubung kesediaan negara berkenaan menerima pelarian terbabit.

Menurut Anwar, usaha mendapatkan kerjasama negara ketiga merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menangani kekangan Malaysia untuk menampung jumlah pelarian yang ramai.

“Saya telah jelaskan, Timbalan Perdana Menteri 1 telah membuat kenyataan berdasarkan keputusan negara mencari tempat negara ketiga kerana kita tidak boleh dan berupaya menampung begitu ramai pelarian.
“Tapi dalam konteks ini, dengan maksud beliau untuk mendapatkan dukungan dari Turkiye, saya dapat penjelasan langsung mereka (Turkiye) tidak bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia menghormati pendirian Turkiye dengan mengambil kira tanggungjawab besar yang telah dipikul negara berkenaan dalam menempatkan jutaan pelarian.

“Jadi kita hormat keputusan itu, apatah lagi Turkiye telah mengambil jutaan pelarian malah menjadi negara paling banyak menampung pelarian di dunia,” tambahnya lagi.

Susulan penjelasan tersebut, Perdana Menteri berpandangan isu berkenaan tidak perlu dipanjangkan memandangkan kerajaan Turkiye sudah menyatakan pendiriannya dengan jelas.

Sumber: Sinar Harian (Roskhoirah Yahya)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved