Turkiye Tidak Sedia Terima Pelarian Rohingya Dari Malaysia, Sedang Tanggung 4 Juta Pelarian Dari Negara Lain – Anwar

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 12:52 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Turkiye Tidak Sedia Terima Pelarian Rohingya Dari Malaysia, Sedang Tanggung 4 Juta Pelarian  Dari Negara Lain – Anwar

Kerajaan Turkiye masih tidak bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menempatkan sebahagian pelarian Rohingya di negara itu berikutan jumlah pelarian sedia ada yang ditanggungnya.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pendirian itu dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan Turkiye kepadanya dua hari lalu (22 Nov) dan berharap isu tersebut tidak diperpanjangkan lagi.

“Saya telah jelaskan, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid) telah membuat kenyataan berdasarkan keputusan negara mencari tempat negara ketiga kerana kita tidak boleh dan berupaya menampung begitu ramai pelarian.

“Tapi dalam konteks ini, dengan maksud beliau untuk mendapatkan dukungan dari Turkiye, saya dapat penjelasan langsung mereka (Turkiye) tidak bersedia.

“Jadi kita hormat keputusan itu, apatah lagi Turkiye telah mengambil jutaan pelarian malah menjadi negara paling banyak menampung pelarian di dunia,” katanya dipetik Sinar Harian.

Turkiye sedang tanggung 4 juta pelarian dari negara Teluk, Arab dan negara jirannya

Jelasnya lagi Turkiye ketika ini menanggung pelarian dari beberapa negara Teluk, negara Arab serta negara jirannya, sekali gus menyebabkan permohonan Malaysia belum dapat dipersetujui.

“Turkiye sekarang menanggung lebih empat juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara-negara Arab dan beberapa negara jiran.

“Jadi, itu tidak dapat dipersetujui secara rasmi daripada kerajaan Turkiye.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ali Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Dewan Rakyat, hari ini (24 November) yang meminta penjelasan berhubung laporan dan kenyataan yang mendakwa Turkiye bersedia menerima seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Malaysia masih cari negara ketiga

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan Malaysia akan terus berusaha mendapatkan negara ketiga yang bersedia menerima pelarian Rohingya.

Ini termasuk negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau berkata, usaha yang disuarakan Ahmad Zahid sebelum ini selari dengan pendirian kerajaan untuk mencari penempatan di negara ketiga bagi pelarian berkenaan.

“Kita tidak mahu hal ini disalah erti kerana percubaan itu, seperti yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, adalah konsisten dengan pendirian Malaysia untuk mencari tempat negara ketiga.

“Mana-mana negara yang boleh, termasuk negara-negara OIC,” katanya.

Malah menurutnya lagi, Malaysia sebelum ini mempunyai harapan yang Turkiye akan mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan mengambil kira rekod dan tradisi negara itu dalam membantu pelarian dari negara Islam.

Namun, beliau berkata Turkiye kini sudah menyatakan pendirian bahawa negara itu belum bersedia menerima pelarian tambahan disebabkan tanggungan sedia ada.

Sebelum ini Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook pada 20 November lalu memaklumkan bahawa 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur.

Jelas beliau, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pemindahan 10,000 pelarian Rohingya tersebut menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Zahid langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk menguruskan kehadiran komuniti Rohingya di negara ini secara lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.

Kenyataan tersebut bagaimanapapun telah dipadam olehnya sehingga menyebabkan ramai tertanya-tanya dan menggesa kerajaan untuk menjelaskan sama ada Turkiye benar-benar bersetuju menerima pelarian Rohingya dari negara ini.

Setiausaha Akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed kemudian menjelaskan bahawa cadangan tersebut masih dalam peringkat usaha dan memerlukan penelitian dan ppenyelarasan lanjut dengan pihak berkaitan.

“Kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kita sememangnya sedang mengusahakan inisiatif ini yang akhirnya bertujuan menjaga kepentingan negara dan rakyat,” kata Shuhaimi.

Turkiye nafi dakwaan bahawa negara itu bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia

Tidak lama kemudiannya Turkiye tampil menafikan dakwaaan penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke negara itu.

Pusat Memerangi Maklumat Palsu, Direktorat Komunikasi Turkiye (DMM) menerusi satu hantaran di media sosial turut menyifatkan laporan mengenai cadangan pemindahan pelarian berkenaan yang tersebar dalam media antarabangsa dan media sosial sebagai tidak berasas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved