PM Anwar sedia mohon maaf kepada Muhyiddin, tapi tunggu siasatan MCMC dahulu

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 11:53 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan beliau tidak keberatan untuk mohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95 — namun menunggu dahulu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

PM Anwar sedia mohon maaf jika ada kesilapan

Memetik laporan daripada Harian Berita Harian, beliau menyatakan perkara tersebut ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

“Memang kalau kesilapan sesiapa saja, berdasarkan sumber digunakan itu, kalau disahkan oleh MCMC, saya akan jelaskan dan minta maaf kepada Pagoh.

“Tapi tunggulah dulu, tiada masalah. Tapi saya belum pernah dengar ketua pembangkang dan rakan-rakan sana, yang memfitnah berhari-hari, minta maaf sepatah pun,” katanya.

image is not available

PM Anwar jawab isu mohon maaf kepada Muhyiddin

Kenyataan tersebut dibuat sewaktu menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada beliau bersedia meminta maaf kepada Muhyiddin.

image is not available

Minggu lalu, Muhyiddin menuntut Anwar berbuat demikian, malah mengancam membawa usul ke Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika tidak berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Anwar menafikan dakwaan bahawa MCMC diarahkan menyiasat Muhyiddin, sebaliknya siasatan hanya tertumpu kepada sumber maklumat asal.

“Ada yang salah faham kata MCMC siasat Pagoh. Tidak. Saya nak jelaskan, saya kata sumber ini daripada 1,2,3. Tolong siasat 1,2,3 ini apakah sahih.

“Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar. Tapi biar tunggu keputusan daripada MCMC dahulu,” katanya.

image is not available

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Anwar memohon maaf dan menarik balik dakwaan yang beliau mempertahankan kebajikan warga asing dalam isu subsidi RON95.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata sekiranya tiada permohonan maaf, beliau mahu merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sumber: Berita Harian (Farah Marshita Abdul Patah)