PM Anwar selar dakwaan kerajaan serah tanah kepada Indonesia -“Tipu, salah fakta”

LocalPolitics
30 Jan 2026 • 4:24 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak keras dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan mengelirukan rakyat.

image is not available

PM Anwar nafi serah tanah kepada Indonesia

Memetik laporan daripada Berita RTM, beliau menyatakan pihak pembangkang telah menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyebarkan maklumat palsu serta menggunakan sentimen agama bagi kepentingan politik.

“Inilah masalah pembangkang. Mereka guna kebebasan untuk bercakap merapu dan bohong. Guna nama Islam, tipu, salah fakta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, di sini.
image is not available

Foto: Bernama

Pembangkang tuduh kerajaan serah tanah kepada Indonesia tak tepat

Anwar menegaskan sekiranya pembangkang benar-benar mahukan penjelasan, perkara itu sepatutnya dibangkitkan secara bertanggungjawab dan berfakta, bukannya membuat tuduhan serta ‘hukuman’ sendiri yang bersifat memfitnah.

Beliau turut menolak keperluan untuk memberikan penjelasan lanjut di Parlimen berhubung dakwaan berkenaan.

“Tak perlu bagi penjelasan. Pembangkang mesti bertanggungjawab buat tuduhan menipu, memfitnah terus-menerus dan kita tidak boleh terima kaedah politik buruk dan busuk seperti ini,” tegasnya.
image is not available

Foto: Bernama

Artikel lain: Isu sempadan Sabah-Kalimantan: Kerajaan tegaskan tiada tanah diberi sebagai pampasan

Perdana Menteri menegaskan amalan politik sedemikian hanya mencemarkan budaya politik negara dan tidak selari dengan prinsip tanggungjawab serta kebenaran yang sepatutnya dijunjung.

Sumber: Berita RTM