PM Anwar sindir pemimpin di Sabah terpalit skandal rasuah -“Balak, tanah semuanya dicuri”

LocalPolitics
26 Sep 2025 • 8:30 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan ucapan penuh sindiran apabila menghalakan serangan terhadap elit politik di Sabah yang terpalit skandal rasuah dan skandal perlombongan.

Sindir pemimpin terpalit skandal rasuah

Memetik laporan daripada Malaysiakini, beliau dengan tegas mengatakan tidak dapat memaafkan mana-mana pihak yang mencuri duit rakyat sewaktu berucap di Dewan Pisompuruan, Inanam, di hadapan kira-kira 200 orang termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya ditangkap, saya dipukul, saya diseksa dalam penjara. Saya maafkan. Saya dihina, maruah saya dijatuhkan. Saya maafkan. Tapi kalau anda curi wang rakyat, kalau anda ambil berbilion milik rakyat – saya tidak boleh maafkan,” katanya.

image is not available

Berita baru isu pemimpin Sabah terpalit skandal rasuah

Kenyataan dilontar Anwar dilihat menyentuh isu melibatkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang baru-baru ini disoal siasat SPRM berhubung dakwaan menerima RM1.78 juta berkaitan lesen perlombongan.

“Ada berita baru. Segera, SPRM bertindak – ya, kita akan siasat. Itulah cara kita,” ujar Anwar sambil tersenyum sinis.

image is not available

Tegas ambil semula apa yang telah dicuri

Dalam ceramahnya, beliau turut menempelak pemimpin yang hanya beberapa tahun jadi menteri tetapi tiba-tiba memiliki simpanan berbillion ringgit.


“Berbilion ringgit wang rakyat dicuri. Tugas kita ialah cari jalan untuk ambil balik. Ada pemimpin terlalu lama berkuasa, mereka rompak, kayakan keluarga dan kroni. Sedangkan rakyat biasa terus sengsara,” katanya.

Kekayaan Sabah dijarah pihak tak bertanggungjawab

Anwar juga menambah kekayaan Sabah telah lama dijarah hanya untuk kepentingan segelintir pihak.

“Balak, tanah, semuanya dicuri. Kekayaan Sabah dibahagikan hanya kepada segelintir. Sebab itu rakyat kekal miskin, sementara mereka yang berkuasa hidup mewah,” ujarnya lagi.

image is not available

Jelasnya, walaupun bukan anak jati Sabah, beliau berjanji negeri itu tetap diberi perhatian sewajarnya.

“Saya anak Pulau Pinang, bukan anak Sabah. Tapi saya bayangkan apa yang patut diperuntukkan untuk Sabah. Dalam sejarah Malaysia, inilah komitmen saya,” tegasnya.

Dalam masa sama, Anwar turut mengingatkan pemimpin agar tidak menjadikan isu kaum dan agama sebagai perisai untuk menutup skandal rasuah.

Beliau berpesan supaya tidak bermain api perkauman dan agama kerana hal tersebut boleh memusnahkan negara.

Tegasnya, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersatu dan bukan berpecah kerana agama dan bangsa.

Sumber: Malaysiakini (JA Edgar) Facebook Anwar Ibrahim