
KUALA LUMPUR — Golongan elit politik Sabah hari ini berdepan sindiran tajam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kekayaan luar biasa yang mereka miliki.
Berucap di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, Sabah, Perdana Menteri turut menempelak mereka yang terbabit menyeleweng hasil negeri.
Dalam ucapan di hadapan kira-kira 200 orang termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah tanpa kompromi.
“Saya ditangkap, dipukul, diseksa dalam penjara, saya maafkan. Saya dihina, maruah dirampas, saya maafkan. Tetapi kalau curi duit rakyat, kalau ambil berbilion wang rakyat, itu saya tidak boleh maafkan,” katanya disambut tepukan hadirin.
Anwar turut memuji ketangkasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pantas bertindak terhadap satu pendedahan baharu di Sabah.
“Ada berita baharu, segera SPRM kata ‘ya, kita akan siasat’. Itu cara kita,” katanya.
Kenyataan itu muncul beberapa hari selepas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dipanggil SPRM berhubung dakwaan bayaran RM1.78 juta berkaitan lesen perlombongan.
Anwar turut menyindir bagaimana sesetengah ahli politik menimbun kekayaan dalam masa singkat.
“Berapa banyak sudah kita pulihkan? Berbilion ringgit, duit yang dicuri daripada rakyat.
“Jadi menteri, baru beberapa tahun, tiba-tiba ada simpanan satu bilion, dua bilion. Jadi, tugas kita cari jalan untuk ambil balik,” tegasnya.
Beliau juga mengecam pemimpin yang melaungkan slogan mempertahankan Sabah, tetapi dalam masa sama memperkaya kelompok sendiri.
“Balak, tanah, semuanya disapu. Kekayaan Sabah dirampas dan diagih kepada segelintir kelompok. Sebab itu rakyat kekal miskin, sedangkan mereka yang berkuasa hidup mewah,” katanya.
Namun, Anwar menegaskan pentadbirannya tidak akan bersifat diktator.
“Saya bukan penyiasat, bukan hakim. Kalau Perdana Menteri jadi penyiasat, jadi penghukum, jadi warden penjara, itu bukan Perdana Menteri, itu diktator. Kita mesti ikut undang-undang,” jelasnya.
Mengulas slogan Sabah for Sabahans, Anwar berkata ia tidak bermakna tanpa kepimpinan berintegriti.
“Bukan sekadar pilih pemimpin yang pandai bercakap tentang pertahankan Sabah, tapi benar-benar lindungi Sabah,” ujarnya sambil menekankan bahawa kerajaan akan memastikan pengagihan yang adil di negeri itu walaupun ada ‘ribuan anak kelahiran Pulau Pinang’.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi peringatan agar politik perkauman dan agama tidak dijadikan modal oleh sesetengah pihak.
“Jangan main api perkauman, jangan main api agama. Kalau ikut jalan itu, negara ini hancur. Saya pergi ke gereja, kuil, masjid, bukan untuk politik, tapi kerana hormat.
“Kita mesti bersatu sebagai rakyat Malaysia, bukan berpecah kerana agama atau kaum,” katanya. - Getaran, 26 September 2025
