KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kerajaan menghormati keputusan serta bidang kuasa Seri Paduka Baginda dan komited melaksanakan titah berkenaan mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, penjelasan daripada Peguam Negara amat diperlukan bagi memperincikan persoalan perundangan yang timbul, khususnya berkaitan kemungkinan implikasi terhadap kes Najib membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kerajaan tidak pernah mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Peguam Negara perlu menjelaskan persoalan undang-undang yang timbul, termasuk kesannya terhadap kes 1MDB Najib.
“Saya serahkan perkara itu kepada Peguam Negara untuk memberikan penjelasan lanjut kerana ia bukan dalam bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anwar turut memaklumkan, Dusuki sudah memohon untuk menghadap Seri Paduka Baginda bagi membincangkan perkara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak dakwaan bahawa tindakannya mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap Najib merupakan tindakan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, AGC menjelaskan, langkah berkenaan perlu bagi memastikan pelaksanaan hukuman penjara dan pengampunan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu tidak bercanggah dengan undang-undang.
Jabatan itu menegaskan, pihaknya tidak pernah mencabar kesahihan Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan, apatah lagi mengambil tindakan untuk mengetepikan atau menggantung pelaksanaannya.
AGC juga menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan yang menyifatkan tindakan Peguam Negara sebagai satu bentuk penghinaan atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Menurut jabatan itu, tuduhan sedemikian tidak mempunyai asas kerana langkah yang diambil adalah berlandaskan persoalan perundangan yang memerlukan penelitian.
Sementara itu, pasukan peguam Najib semalam mempertikaikan tindakan AGC yang didakwa tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan pengampunan diraja.
Mereka berpendapat sebarang pertikaian atau persoalan berkaitan perintah mahkamah sewajarnya dibawa untuk diputuskan melalui proses kehakiman.
Firma guaman Shafee & Co turut mendesak Pesuruhjaya Penjara supaya menyegerakan proses pembebasan Najib bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki tempoh hukumannya di bawah tahanan rumah tanpa sebarang penangguhan lagi. - Getaran, 7 November 2026






